"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes bunuh wanita di Sibu Jaya, 2 termasuk bekas suami mangsa ditahan

FMT Reporters 

PETALING JAYA: Dua lelaki ditahan polis susulan kes bunuh seorang pembantu kedai wanita berusia 24 tahun dalam kejadian di Sibu Jaya, Sarawak, semalam.

Ketua Polis Sibu, Zulkipli Suhaili, berkata berkata tangkapan suspek pertama dilakukan pada 9.30 malam, membabitkan bekas suami mangsa berumur 27 tahun di sebuah rumah panjang tidak jauh dari bandar Sibu.

Katanya, suspek kedua iaitu seorang penjual burger yang mengenali mangsa ditahan 9.30 pagi tadi di sebuah lokasi di Sibu Jaya.

“Hasil siasatan awal polis, motif kejadian ialah suspek kedua ingin meminjam duit daripada mangsa tetapi dia enggan menyebabkan suspek bertindak agresif,” katanya pada sidang akhbar hari ini, menurut Bernama.

Terdahulu, polis menerima maklumat awam kira-kira 3.10 petang semalam berhubung seorang wanita ditemukan terbaring dalam keadaan berlumuran darah di hadapan sebuah kedai di Sibu Jaya.

Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Sibu untuk menerima rawatan, namun dilaporkan meninggal dunia pada 11.34 malam tadi.

Wanita terbabit juga didapati mempunyai enam kesan kecederaan akibat tikaman dan polis telah merampas sebilah pisau serta pakaian yang dipercayai digunakan semasa kejadian.

Selain itu, Zulkifli berkata suspek pertama yang tidak memiliki rekod jenayah telah direman tujuh hari bermula hari ini manakala permohonan reman terhadap suspek kedua akan dibuat esok bagi membantu siasatan.

“Suspek kedua mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) dan didapati positif saringan air kencing dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Tiada ulasan: