"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menteri Agama siasat pendedahan Mawla tunggang nasab Nabi Muhammad

SITI NUR ZAWANI
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menyiasat pendedahan dibuat sebuah akhbar tempatan mengenai lelaki dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai ‘Mawla Muhammad Amin’ yang menunggang nasab suci Nabi Muhammad.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa agama Islam khususnya Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat pendedahan tersebut.

Mohd Na’im berkata, beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengeksploitasi agama untuk kepentingan diri mahupun kumpulan yang tertentu.

“Semua pihak adalah dinasihatkan supaya sentiasa merujuk kepada JAIN berkaitan apa-apa urusan berkaitan pentauliahan mana-mana pendakwah agar setiap perkara yang disampaikan selari dengan ajaran Islam,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Dalam pada itu beliau menyeru semua pihak untuk sentiasa berpegang kepada neraca ilmu, fakta dan menjauhkan diri daripada taksub.

Ujarnya, ketaksuban yang melampau dalam sesuatu perkara adalah berbahaya kepada diri dan masyarakat.

“Sikap taksub akan menyebabkan seseorang mudah terpengaruh dengan sesuatu dakwaan oleh individu mahupun kumpulan tertentu,” tambahnya lagi.

Terdahulu, akhbar Harian Metro membuat pendedahan mengejutkan apabila seorang Mawla yang dikatakan berketurunan Nabi Muhammad, rupa-rupanya tiada langsung nasab suci baginda Nabi.

Lelaki yang nama sebenarnya Mohamed Amin Ouradj mengeksploitasi nasab suci Rasulullah SAW untuk menarik perhatian pengikut serta pendokongnya.

Dia juga yang kononnya mendakwa warga Maghribi, disahkan bukan rakyat negara itu, sebaliknya adalah warga Perancis-Algeria.

Lelaki yang pernah tular pada 2022 lalu itu, sempat mencetus perdebatan dalam kalangan rakyat Malaysia kerana ada sebahagian yang menyanjung lelaki itu dan tidak ketinggalan meragui latar belakangnya.

Akhbar itu melaporkan, PDRM sedang memantau kegiatan Mawla Amin dan pengikutnya susulan laporan bahawa seorang mudir di madrasah Selangor, aktif mempromosi Mawla Amin dengan mengutip dana awam secara tidak sah, selain cuba mewujudkan satu perkampungan Kerajaan 9 di Melaka sebagai persiapan akhir zaman kepada pengikutnya.

Selain itu pada semalam, dilaporkan kira-kira 100 jemaah tertipu selepas dijanjikan untuk membuat umrah bersama Mawla tersebut.

Tiada ulasan: