"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Sakitnya memang ke langit’ – Rafizi dedah penyakit dialaminya

Harapandaily

Masalah tulang belakang. Itu penyakit yang dialami Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli seperti dikongsikannya di laman X (Twitter) hari ini.

Ahli Parlimen Pandan berkenaan berkata, beliau telah dijangkiti Covid-19 buat kali pertama pada minggu ketiga bulan ini.

Akibatnya, kata wakil rakyat PKR itu, beliau terlantar beberapa hari, sekali gus menyebabkan tekanan ke atas tulang belakang sehingga berlaku slipped disc.

“Keadaannya memuncak selepas beberapa minggu sehinggakan saya tidak lagi boleh berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda.

“Sakitnya memang ke langit,” katanya yang pernah mengalami serangan jantung pada Oktober tahun lalu.

Terdahulu, Perdana Menteri memuat naik gambar kunjungan beliau menziarahi Rafizi di sebuah hospital.

Mengulas lanjut, Rafizi yang bakal berusia 47 tahun pada 14 September nanti memberitahu beliau baru selesai menjalani pembedahan tulang belakang.

Jelasnya, beliau akan menjalani rawatan di hospital bagi tempoh dua minggu lagi sebelum dijangka kembali bertugas Mac nanti.

Menurutnya, sebelum itu beliau telah disahkan mempunyai masalah stenosis, iaitu kewujudan tekanan dari slipped disc dan ligamen yang memegang tulang belakang, sehingga ruang saraf mengecil dan ditekan berpanjangan.

“Alhamdulillah, pembedahan untuk memotong sebahagian ligamen dan slipped disc (untuk membuka ruang kepada saraf) berjalan baik.

“Saya telah boleh berjalan semula,” katanya sambil yang mengucapkan terima kasih kepada kumpulan pakar merawatnya.

Rafizi bagaimanapun berkata, selalunya beliau tidak berkongsi mengenai perkara yang dianggapnya peribadi, seperti masalah kesihatan, tetapi menyedari ada kalangan rakannya yang bimbang.

“Lebih baik saya berkongsi sedikit sebanyak supaya dapat disampaikan kepada mereka yang ambil tahu,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan: