FMT Reporters
PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan kononnya cadangan beras putih Malaysia Madani akan menyokong perbuatan kartel yang mencampurkan beras putih tempatan (SST) dan beras putih import (SSI).
Anwar berkata sebaliknya tindakan kerajaan itu dilakukan bagi mengekang campur tangan kartel.
Bagaimanapun, katanya, masih belum ada sebarang keputusan berhubung isu itu setakat ini dan hal itu akan dibincangkan lebih terperinci dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) akan datang.
“Tidak, kami sedang mengekang campur tangan kartel tetapi kami akan berbincang dengan Naccol. Tiada lagi keputusan,” katanya menurut Bernama.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh, yang meminta perdana menteri tidak membenarkan pelaksanaan beras putih Malaysia Madani seperti dicadangkan Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal kerana didakwa seperti menyokong perbuatan kartel.
Pada 14 Feb lepas, Syed Hussin yang juga pengerusi jawatankuasa menangani harga makanan dan kos sara hidup Naccol mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani yang dijual pada harga maksimum RM30 dengan berat 10kg sekampit berkuat kuasa 19 Feb ini dengan jangkaan berada di pasaran bermula 1 Mac ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan