"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penduduk Sungai Petani hilang sabar terpaksa angkut air sejak bulan lepas, “Kami sudah letih"

SITI NUR ZAWANI

30 keluarga dari Kampung Batu Hampar, Merbok, Sungai Petani sudah tidak dapat menahan sabar berikutan masalah bekalan air dihadapi mereka semakin kritikal sejak sebulan lalu.

Mereka mendakwa, masalah itu berlaku sejak beberapa tahun lalu, namun semakin meruncing pada awal Januari lepas.

“Kami sudah letih angkat air selain terpaksa keluarkan wang sendiri untuk membeli air bersih untuk minum dan memasak,” demikian luahan penduduk di kampung itu seperti dilapor Kosmo! hari ini.

Seorang penduduk, Sharipah Rohani Syed Mohamad, 62, berkata, penduduk mulai rasa penat kerana masalah itu menjejaskan urusan harian mereka sehingga terpaksa mengerah kudrat dan membazir masa me­ngangkut air dari luar.

“Memang ada air dibekalkan pihak Syarikat Air Darul Aman (SADA) dua hari sekali, tetapi ia tidak mencukupi terutama bagi kegunaan ramai seperti keluarga besar saya seramai enam orang.

“Tambahan bekalan air itu tidak sesuai untuk diminum dan kegunaan memasak menyebabkan kami perlu membeli air bersih dan berhabis duit sebanyak RM120 sebulan,” katanya.

Lapor portal itu lagi, seorang penduduk, Zainurdin Mansor, 48, pula meluahkan, dia tinggal dengan ibu bapa, isteri dan dua anak menyebabkan mereka memerlukan bekalan air yang banyak.

“Kebanyakan penduduk kampung mengangkut air dari rumah saudara yang terletak jauh dari kampung kerana kalau nak mengharapkan bekalan air yang dihantar SADA memang tidak mencukupi.

“Ketiadaan air paip sejak awal Januari lalu menyebabkan kami hidup tertekan kerana perlu menjelaskan bil dan pada waktu sama terpaksa membeli air bersih untuk diminum,” ujarnya.

Seorang suri rumah, Suhailimaton Hazami, 40, pula berkata, keadaan cuaca panas melampau sekarang menyebabkan keperluan bekalan air yang dihantar SADA perlu ditambah kekerapannya.

“Saya ada empat anak berumur antara enam hingga 17 tahun dan keadaan cuaca yang panas sekarang menyebabkan kami memerlukan air yang ba­nyak.

“Saya letih kerana perlu mengeluarkan modal untuk ­minyak kereta dan motosikal bagi mengangkut air dari rumah saudara di Merbok, selain membeli air bersih untuk diminum,” tambahnya.

Tiada ulasan: