"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terengganu: Doktor didakwa hasil pornografi, laku amang seksual terhadap pesakit kanak-kanak

Bernama
Tertuduh, Dr Anas Ramli, 32, mengaku tidak bersalah selepas kesemua tuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Wan Suhaila Mohd hari ini. (Gambar Bernama)
CHUKAI: Seorang doktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas enam tuduhan menghasilkan pornografi dan melakukan amang seksual sewaktu merawat enam pesakit kanak-kanaknya pada Disember 2022 hingga 26 Jan 2023.

Tertuduh, Dr Anas Ramli, 32, memohon dibicarakan selepas kesemua tuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Tertuduh yang kini bertugas di sebuah hospital kerajaan di Kuantan, Pahang didakwa menghasilkan pornografi dalam bentuk gambar membabitkan lima pesakit perempuannya yang berusia antara 7 hingga 11 tahun ketika merawat mereka di Hospital Kemaman.

Anas melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan maksimum 30 tahun dan tidak kurang enam sebatan.

Tertuduh juga didakwa atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang pesakit kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun bagi maksud seksual pada 8 Feb tahun lepas di hospital sama antara 5.45 petang hingga 6.40 petang.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan, dibaca bersama Seksyen 16 (1) yang membolehkan tertuduh dihukum penjara tidak lebih lima tahun dan tidak kurang dua sebatan jika disabitkan bersalah.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Syairah Mohamad Razali memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap tuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam Faizal Rahman yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya dikenakan jaminan yang rendah kerana keseluruhan RM120,000 merupakan jumlah yang besar untuk tertuduh yang baru sahaja empat tahun berkhidmat sebagai penjawat awam.

Hakim Wan Suhaila kemudiannya membenarkan jaminan RM5,000 bagi setiap tuduhan dengan seorang penjamin.

Beliau turut meluluskan syarat tambahan dikemukakan pihak pendakwaan selain mengarahkan tertuduh melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan sehingga kes selesai dibicarakan.

Sementara itu, tertuduh juga mengaku tidak bersalah ketika didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan memiliki gambar lucah di dalam telefon bimbitnya yang dilakukan di dalam dewan bedah di hospital sama antara 7.30 pagi hingga 10 pagi pada 1 Nov 2022.

Dia dituduh mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Majistret Sharifah Armida Shasha Amir membenarkan tertuduh dijamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan mengarahkannya untuk tidak mendekati mangsa dan saksi sehingga kes selesai.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 21 Mac depan untuk serahan dokumen oleh pasukan pendakwaan dan kakak tertuduh yang hadir di prosiding berkenaan kemudiannya membayar jaminan.

Tiada ulasan: