"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahu wujudkan ‘Kerajaan 9’, Mawla konon ada susur galur Nabi dipantau polis

SITI NUR ZAWANI
Seorang lelaki warga Maghribi dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai ‘Mawla Mohamed Amin al-Hassani yang mendakwa dirinya mempunyai jalur keturunan Nabi Muhammad, kini menjadi buruan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Maula yang pernah tular pada 2022 lalu itu, sempat mencetus perdebatan dalam kalangan rakyat Malaysia kerana ada sebahagian rakyat Malaysia yang menyanjung lelaki itu dan tidak ketinggalan meragui latar belakangnya.

Harian Metro hari ini melaporkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan bahawa PDRM sedang memantau kegiatan Mawla Amin dan pengikutnya.

Pemantauan itu dilakukan susulan laporan akhbar bahawa seorang mudir sebuah madrasah di Selangor, aktif mempromosi Mawla Amin dengan mengutip dana awam secara tidak sah, selain cuba mewujudkan satu perkampungan Kerajaan 9 di Melaka sebagai persiapan akhir zaman kepada pengikutnya.
Hasil maklumat yang diterima, mereka dilaporkan sudah membeli sebidang tanah kira-kira 11 hektar.

“Kita ada maklumat itu dan buat masa ini kita masih memantau pergerakan Mawla Amin terbabit bersama pengikutnya.

“Madrasah terbabit juga apa yang diketahui membeli tanah di Melaka hasil kutipan dana daripada pengikutnya dan orang ramai bagi membina perkampungan terbabit,” katanya secara eksklusif kepada Harian Metro.

Tanah yang baru dibeli tersebut dilaporkan milik bekas Adun Melaka. Perkampungan itu dikatakan akan menjadi penempatan individu dari luar yang diangkat menjadi Imam Mahdi.

Madrasah terbabit juga terpalit dengan salah laku membabitkan mudirnya memukul pelajar, tidak memberikan makan dan dipaksa tidur dalam tandas.

Pada masa sama, akhbar itu melaporkan, Skuad Khas Harian Metro menerima surat maklum balas daripada Kementerian Luar Maghribi, Bahagian Hal Ehwal Asean yang menyatakan bahawa individu terbabit tidak mempunyai kaitan dengan nasab suci Baginda SAW.

Lelaki itu juga tidak mempunyai sebarang perkaitan dengan Sharif Idrissi di Maghribi atau mana-mana jalur keturunan Nabi Muhammad SAW yang lain.

Menerusi surat keterangan itu, Mawla Muhammad Amin atau nama sebenarnya Mohamed Amin Ouradj mengeksploitasi nasab suci Rasulullah SAW untuk menarik perhatian pengikut serta pendokongnya.

Pihak berkuasa agama Maghribi sama sekali tidak menyokong sama ada aktiviti atau ajaran agama daripada individu ini.

Pada masa sama, pihak Kementerian Luar Maghribi juga menyatakan bahawa individu ini mendakwa sebagai rakyat negara itu sedangkan lelaki itu adalah warga Perancis-Algeria dan mengambil kesempatan terhadap reputasi ulama Maghribi.

Untuk rekod, Mohamed Amin Ouradj memegang warganegara Perancis-Algeria dan dilahirkan di Algiers pada 1984 sebelum berpindah ke Perancis mengikut keluarganya.

Tiada ulasan: