"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

40 terbunuh, Daesh mengaku serang konsert di Moscow

FMT Reporters
Kenderaan perkhidmatan kecemasan kelihatan di luar Dewan Bandaraya Crocus yang terbakar susulan insiden tembakan di Krasnogorsk, pinggir Moscow. (Gambar AFP)
MOSCOW: Sekurang-kurangnya 40 terbunuh dan lebih 100 cedera apabila lelaki bersenjata berpakaian celoreng melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang menghadiri konsert di Dewan Bandaraya Crocus dekat Moscow pada Jumaat, kata perkhidmatan keselamatan FSB Rusia.

Menurut Reuters, sekurang-kurangnya lima lelaki bersenjata dilihat dalam satu video tidak disahkan, melepaskan tembakan beberapa kali ke arah orang ramai yang menjerit ketakutan ketika kumpulan rock era Soviet, Picnic bersedia membuat persembahan.

Rakaman video lain menunjukkan lelaki terbabit menembak orang ramai di bawah papan tanda masuk ke “Dewan Bandaraya Crocus”. Orang ramai yang terbaring berlumuran darah turut kelihatan.

Semua tiket di dewan konsert 6,200 tempat duduk itu habis dijual. Agensi berita negara TASS memetik Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) Rusia sebagai berkata 40 orang terbunuh dan lebih 100 cedera.

“Tiba-tiba terdengar bunyi dentuman di belakang kami – tembakan. Serangan tembakan – saya tidak tahu apa,” kata seorang saksi yang tidak mahu namanya didedahkan kepada Reuters.

“Rempuhan bermula, semua orang berlari ke eskalator,” kata saksi itu. “Semua orang menjerit, semua orang berlari.

Media Rusia melaporkan letupan kedua di tempat itu dan terdapat laporan bahawa beberapa lelaki bersenjata menghalang laluan di satu kawasan dalam bangunan.

Susulan kejadian itu, Russia turut mengetatkan kawalan di lapangan terbang dan stesen serta seluruh ibu negara, kawasan bandar diduduki 21 juta orang.

Dua minggu lalu, kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Rusia memberi amaran bahawa “pelampau” mempunyai rancangan melakukan serangan di Moscow.

Ia mengeluarkan amarannya beberapa jam selepas FSB berkata ia menggagalkan serangan ke atas rumah ibadat Yahudi di Moscow oleh sel militan Daesh.

Sementara itu, AFP melaporkan Daesh mengaku bertanggungjawab melakukan serangan berkenaan.

Pejuang Daesh “menyerang perhimpunan besar…di pinggir ibu negara Rusia Moscow”, kata kumpulan itu dalam kenyataan di Telegram.

Tiada ulasan: