"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Empat diberkas samun wanita guna senjata

IVAN AMIRUL
Polis memberkas empat termasuk dua lelaki warga asing yang disyaki terbabit dalam kes samun berkumpulan menggunakan senjata ke atas seorang wanita pada Jumaat minggu lalu. FOTO Ihsan Polis
TAWAU – Polis memberkas empat termasuk dua lelaki warga asing yang disyaki terbabit dalam kes samun berkumpulan menggunakan senjata ke atas seorang wanita pada Jumaat minggu lalu.

Keempat-empat suspek berusia 16 hingga 43 tahun itu diberkas polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, dalam serbuan di sebuah rumah kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku pada pukul 5.20 pagi, ketika mangsa iaitu seorang wanita keluar rumah untuk bekerja.

Katanya, mangsa disamun oleh beberapa lelaki yang tidak dikenali dan beg tangan milik mangsa turut dilarikan oleh suspek.

“Bertindak atas laporan yang dibuat mangsa, pasukan polis menjalankan serbuan di sebuah rumah dan menahan empat suspek disyaki terbabit kes samun,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, soal siasat mendapati dua daripada suspek adalah warga asing yang tinggal di negara ini tanpa mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Selain itu, katanya salah seorang suspek juga mempunyai rekod kesalahan lampau berkait kes jenayah dan dadah.

“Polis turut menemui beg tangan mangsa yang berisi dokumen penting disembunyikan oleh suspek di rumah berkenaan dan semua suspek bersama barang rampasan dibawa balik ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: