Harapandaily
ROZHAN OTHMAN
Sekali lagi ada di kalangan umat Islam di Malaysia marah. Kali ini kerana KK Mart telah menjual stokin yang terdapat perkataan “Allah” padanya.
Maka ada di kalangan mereka yang marah ini menyeru agar KK Mart dipulaukan walau pun pihak KK Mart telah meminta maaf di atas kesilapan yang tidak disengajakan ini.
Ketika zaman Rasulullah s.a.w. berlaku satu peristiwa di mana seorang Badwi telah memasuki masjid baginda dan kencing di dalam masjid itu. Ada di antara sahabat yang menyaksikan peristiwa itu telah marah.
Namun, Rasulullah s.a.w. telah meminta mereka bertenang. Sebaliknya baginda meminta mereka membawa sebekas air kepadanya. Rasulullah s.a.w. kemudiannya membasuh tempat yang dikencing Badwi tadi.
Jika kita ingin mengambil pengajaran daripada peristiwa ini, apakah yang boleh umat Islam perolehi sebagai panduan dalam menanggani peristiwa ini? Rasulullah s.a.w. tidak memukul si Badwi yang kencing dalam masjidnya.
Baginda juga tidak menghalaunya, apatah lagi memulaukannya. Sebaliknya tindakan baginda ibarat penawar yang meredakan keadaan.
Ahli politik ambil kesempatan
Namun, peristiwa seperti isu stokin di KK Mart selalu menjadi lebih keruh dan sensasi bila ahli-ahli politik mula mengambil kesempatan. Mereka ketandusan idea mengenai agenda yang harus mereka perjuangkan. Tahap pemikiran mereka hanya setakat stokin dan kantin.
Banyak lagi masalah yang perlu di atasi negara ini tetapi golongan ahli politik sebegini tidak cukup tinggi intelek mereka untuk membincangkannya.
Mereka tidak mampu membincang bagaimana menjadikan Malaysia lebih berdaya saing pada ketika negara-negara seperti Vietnam mula mengatasi kita dan Thailand serta Filipina bakal mencabar kita.
Bagi pemimpin-pemimpin yang bercitrakan Melayu-Islam ini, mereka umumnya membisu mengenai masalah-masalah yang membelenggu masyarakat Melayu-Islam.
Masalah penagihan dadah yang tinggi di kalangan orang Melayu, masalah sumbang mahram yang kerap berlaku di kalangan orang Melayu, masalah jenayah seksual terhadap kanak-kanak, pembabitan orang Melayu dalam rasuah dan kemunduran orang Melayu dalam menguasai sains dan teknologi tidak pula mendapat perhatian ahli-ahli politik ini.
Sebaliknya, isu-isu yang suka mereka mainkan ialah pakaian seragam pramugari, sama ada bak kut teh atau gulai patin tempok patut dijadikan makanan warisan, dan pembukaan kantin di sekolah ketika Ramadhan. Nyata sekali tahap pemikiran ahli-ahli politik ini terlalu cetek untuk memikir melebihi isu-isu sebegini.
Barangkali lebih baik jika ahli-ahli politik ini, sama ada yang berserban atau bersongkok, memulakan kempen memulaukan kedai-kedai yang menjual rokok. Majlis Fatwa Kebangsaan telah memfatwakan menghisap rokok itu haram dan kesan kesihatan akibat dari menghisap rokok merupakan satu beban kepada perkhidmatan kesihatan kita.
Daya intelek tak cukup tinggi
Namun, kita dapati daripada mereka yang riak menggelarkan diri mereka ulama dan yang riak menggelarkan diri mereka pejuang bangsa segan-silu untuk memperjuangkan isu sebegini.
Adakah daya intelek mereka tidak cukup tinggi untuk memahami masalah sebegini membawa kemudaratan yang serius? Mengapa tidak ada di antara mereka ini yang menganggap penjualan rokok sebagai suatu yang keterlaluan atau menghina larangan agama?
Tragedi yang dialami umat Islam di Malaysia ialah sebahagian ahli-ahli politik mereka terlalu dangkal untuk memimpin mereka ke depan serta membina umat yang lebih progresif. Tahap pemikiran ahli-ahli politik ini hanya sekadar tahap stokin dan kantin.
Jika baru-baru ini ada seorang professor diberi gelaran “professor sambal belacan” kerana cerita-cerita karut yang sering dibawanya, tidaklah keterlaluan untuk kita menyimpulkan bahawa ada di antara ahli-ahli politik kita adalah ahli-ahli politik sambal belacan kerana hanya pandai memedaskan keadaan dan menjaja kebencian.
Dalam menangani isu seperti stokin di KK Mart, umat Islam harus merujuk kepada tauladan Rasulullah s.a.w. dan menjadikannya piawai dalam menentukan tindak-tanduk mereka. Jangan terikut-ikut dengan ahli politik sambal belacan yang sememangnya tidak mempunyai pemikiran dan idea yang bernas.
Penulis ROZHAN OTHMAN ialah mantan rakan kongsi kanan di sebuah firma perundingan pengurusan dan mantan professor pengurusan di beberapa universiti di dalam dan luar negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan