"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Harga beras putih import turun antara RM2 hingga RM3 mulai esok

Bernama

PUTRAJAYA: Harga jualan runcit Beras Putih Import (BPI) turun antara RM2 hingga RM3 di pasaran berkuat kuasa esok, menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Pada masa ini, BPI dijual dengan harga sekitar RM38 hingga RM45 untuk pek 10kg, dan dengan pelarasan baharu, harga runcit BPI pek sama dijangka turun kepada RM35.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata, keputusan itu yang dimuktamadkan melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol), dibuat bagi menangani isu kekurangan Beras Putih Tempatan (BPT) di pasaran susulan pelarasan harga BPI oleh Bernas pada 1 Sept lepas.

“Sehubungan itu, bagi meningkatkan akses rakyat kepada bekalan beras pada harga yang munasabah, kerajaan bersetuju supaya penurunan harga jualan runcit BPI antara RM2 hingga RM3 di pasaran dilaksanakan.

“Kerajaan optimis inisiatif ini dapat membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup terutamanya semasa Ramadan dan musim perayaan yang bakal menjelang,” katanya.

Selain itu, Mohamad berkata, bagi meningkatkan pengedaran BPT di pasaran, stok semasa padi dan beras yang telah dibeli oleh pengilang berjumlah 140,000 tan metrik akan diproses dan dikeluarkan untuk kegunaan pasaran tempatan dengan serta merta.

“Justeru KPKM akan meningkatkan penguatkuasaan melalui Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) di seluruh negara,” katanya.

“Dalam meluaskan jaringan pengedaran BPT, aktiviti Jualan Agro Madani yang dilaksanakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan diperluas dari segi lokasi dan peningkatan kekerapan program.”

Kerajaan turut bersetuju agar semua kontrak kerajaan mengguna pakai sepenuhnya BPI, katanya.

Tambahnya, melalui kaedah itu, bekalan tambahan BPT sebanyak 20,000 tan metrik dapat diedarkan sepenuhnya di pasaran pada April ini.

“Kesemua langkah ini akan dapat meningkatkan ketersediaan bekalan beras kepada rakyat melalui jualan BPI pada harga yang lebih rendah serta pertambahan BPT di pasaran,” katanya.

Pada masa yang sama, katanya, KPKM juga akan meneruskan perbincangan bersama semua pihak berkepentingan untuk memperhalus pelan tindakan jangka panjang bagi struktur kos pengeluaran beras yang lebih realistik.

Ini bagi memastikan industri padi dan beras adalah mampan, terutamanya dalam menjaga kepentingan dan kebajikan pesawah serta meningkatkan produktiviti pengeluaran beras negara, tambahnya.

Tiada ulasan: