Anne Muhammad
SEPANG: Amaran keras diberikan kepada pengendali pelabuhan yang “tersilap” membenarkan kontena tertera logo syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM keluar dan berada di lebuh raya.
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata sebelum ini pihaknya memberi arahan semua kotak kontena dengan logo ZIM tidak dibenarkan keluar dari pelabuhan.
“Kita baru dapat laporan, pengendali pelabuhan tersilap membenarkan keluar satu kontena ini. Memang kita akan beri teguran kepada pengendali pelabuhan ini. Pengendali diberikan satu amaran keras, kita tak nak melihat mana-mana kontena ini keluar dari pelabuhan kita.
“Kontena sedia ada akan dikeluarkan secepat mungkin (dari negara ini),” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pemeteraian Perjanjian Operasi dan Perjanjian Pajakan Tanah antara kerajaan dan Malaysia Airport di Sama-Sama Hotel.
Loke mengulas sebuah video tular mengenai lori kontena ZIM berada di lebuh raya negara ini pada 16 Mac lalu.
Disember lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan memutuskan tidak lagi menerima kapal menggunakan bendera Israel memasuki negara ini berkuat kuasa serta-merta, selain melarang kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata, kerajaan turut memutuskan menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM berlabuh di mana-mana pelabuhan dalam negara berkuat kuasa serta-merta.
Sementara itu, Loke berkata ketika ini hanya tinggal empat atau lima sahaja kontena ZIM di pelabuhan negara sambil memberi jaminan kejadian sama tidak akan berulang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan