"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki diburu polis kerana cuba bunuh anggota polis ditangkap

Aizat Sharif
am@hmetro.com.my

Padang Besar: Lelaki yang dikehendaki polis kerana terbabit dengan cubaan membunuh seorang anggota polis di Chuping, di sini, Oktober tahun lalu diberkas polis semalam.

Suspek yang berusia 43 tahun diburu polis selepas tindakannya yang mengundur kenderaan pikapnya sebelum merempuh motosikal dinaiki anggota polis yang mengejarnya selepas disyaki terbabit dengan kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) di sekitar Kampung Kubang Tiga, Chuping pada 16 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, suspek ditahan jam 10.30 pagi di sebuah rumah tidak bernombor di padang Besar oleh sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar.

"Suspek berjaya dikesan hasil Op Cantas Khas berdasarkan maklumat dan risikan.

"Ketika serbuan, suspek cuba melarikan diri dengan melompat dari tingkap rumah berkenaan.

"Namun, suspek berjaya ditahan selepas mengalami retak tulang di tumit kaki kanannya dan terpaksa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar untuk diberi rawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, suspek bagaimanapun berada dalam keadaan stabil.

"Semakan terhadap rekod jenayah lampaunya mendapati suspek mempunyai lapan rekod lampau pelbagai kesalahan jenayah dan dadah malah hasil ujian air kencing juga mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

"Perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun," katanya.

Sebelum ini, suspek sangat dikehendaki kerana disyaki terbabit dengan cubaan membunuh anggota polis yang cuba memberkasnya kerana dipercayai terbabit dengan kegiatan penyeludupan Pati di sekitar Chuping tahun lalu.

Tiada ulasan: