Redzuan Muharam dan Nurul Hidayah Bahaudin
am@hmetro.com.my
KESAN kecederaan dialami ahli keluarga Asri Yusof selepas dapur steambot meletup. FOTO Ihsan FB Asri Yusof
Temerloh: Hasrat tujuh sekeluarga menikmati 'stimbot' di sebuah restoran di sini, bertukar tragedi apabila dapur gas mudah alih yang digunakan meletup menyebabkan mereka melecur pada bahagian wajah dan tangan
Lelaki dikenali Asri Yusof berkata, kejadian berlaku pada 9 Mac lalu ketika anak bersama keluarga mentuanya menjamu selera di sebuah restoran 'stimbot' di sini.
Difahamkan, sebelum kejadian mereka terdengar bunyi letupan sebelum dapur gas melambung.
Bagaimanapun, mereka dipercayai tidak sempat mengelak dan semua terkena percikan api dari dapur gas.
Susulan itu, Asri bercadang mengambil tindakan saman restoran berkenaan.
Asri mendakwa pemilik restoran berkenaan tidak melakukan apa-apa tindakan untuk membantu melainkan membawa ahli keluarganya ke klinik berdekatan dan memberi tawaran saguhati yang tidak setimpal.
"Tiada tindakan susulan dan hanya selepas saya memaksa barulah mereka datang melawat.
"Kami perlu membuat rawatan kerana kecederaan serius.
"Pihak restoran ada cuba memberikan saguhati RM1,000 tetapi untuk enam orang ahli keluarga. Tak tahu nak cakap apa.
"Bukan luka setompok tetapi hampir keseluruhan muka. Ambil tanggungjawab sebab kami sekarang sedang sakit, terpaksa ambil cuti dan perlu mendapatkan rawatan ," tulisnya menerusi hantaran di Facebook (FB).
Asri turut mendakwa yang kejadian sama pernah berlaku November lalu tetapi tiada tindakan pencegahan dilakukan.
"Tak pasti ada laporan kepada pihak berkuasa atau tidak.
"Kecelakaan boleh berlaku semula kerana peralatan tidak diselenggara dengan baik.
"Kepada pemilik jangan fikirkan keuntungan semata-mata," tulisnya yang turut meminta orang ramai menghebahkan perkongsiannya demi keselamatan semua.
Harian Metro cuba menghubungi Asri untuk mengetahui perkembangan terkini kes itu namun panggilan dan mesej dihantar belum dibalas, setakat ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mazlan Hassan ketika dihubungi, hari ini, mengesahkan pihaknya menerima laporan dibuat oleh mangsa pada 16 Mac lalu.
"Mangsa membuat laporan polis bertujuan untuk mengambil tindakan sivil terhadap pemilik restoran," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan