"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kanak-kanak Indonesia berusia 11 tahun sampaikan tazkirah di masjid di Kelantan yang jadi tular

ASWANY OMAR
Ibrahim menyampaikan tazkirah di Masjid Sultan Ismail Petra Mukim Banggol pada 10 Februari lalu. Foto TikTok @cikguayub
Ibrahim menyampaikan tazkirah di Masjid Sultan Ismail Petra Mukim Banggol pada 10 Februari lalu. Foto TikTok @cikguayub
KOTA BHARU - Kanak-kanak berusia 11 tahun yang tular di media sosial pada Ahad selepas menyampaikan tazkirah Subuh di Masjid Sultan Ismail Petra Mukim Banggol di sini, tidak dijemput untuk tujuan kuliah berkenaan.

Kanak-kanak itu, Ibrahim Khalilurrahman merupakan pelajar Maahad Tahfiz Darul Huffaz, Lampung, Sumatera dan datang ke negara ini bersama mudir maahad terbabit.

Imam Masjid Sultan Ismail Petra Mukim Banggol, Muhammad A'mmar Azlan berkata, Ibrahim menyampaikan tazkirah itu selepas diminta oleh mudirnya yang juga popular sebagai ahli panel sebuah rancangan agama di televisyen di negara ini pada 1990-an.

"Video itu dirakam pada 10 Februari ketika mudir Nur Salam Abdul Mutalib dijemput hadir di masjid berkenaan untuk berkongsi ilmu berkaitan Israk dan Mikraj selepas solat Subuh," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau memberitahu, pihak masjid memberi fokus untuk memotivasikan ramai kanak-kanak yang kebetulan mempunyai kelas al-Quran pada hari sama.

"Ibrahim diharap dapat memberi inspirasi kepada kanak-kanak dan pendakwah cilik itu menyampaikan tazkirah berkaitan keistimewaan al-Quran," katanya.

Bagaimanapun jelas beliau, Ibrahim bukan penyampai ceramah agama kepada jemaah dewasa tetapi pihak pengurusan masjid bersyukur kerana dia mampu menarik minat semua jemaah yang hadir.

Sebelum ini tular di media sosial seorang kanak-kanak duduk di kerusi penceramah di sebuah masjid di Banggol.

Kanak-kanak yang memakai jubah berwarna coklat dan berkopiah putih itu dengan tenang menyampaikan ceramah agama dalam bahasa Indonesia.

Tiada ulasan: