V Anbalagan
PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak usaha seorang wanita untuk mendaftarkan perkahwinannya dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di bawah undang-undang sivil, dengan alasan bahawa dia boleh dianggap sebagai “Islam mengikut undang-undang”.
Hakim Anand Ponnudurai menolak permohonan semakan kehakiman wanita berusia 32 tahun itu bagi mendapatkan perintah agar JPN mendaftarkan perkahwinannya dengan lelaki bukan Islam.
“Mahkamah mendapati keputusan yang dibuat oleh JPN negeri (responden pertama) pada 10 Ogos tahun lepas bukan tidak rasional atau tidak munasabah berdasarkan bukti yang ada di hadapan mereka,” katanya.
Anand tidak memerintahkan sebarang kos.
Wanita yang hanya dikenali sebagai ABC itu telah menamakan JPN, cawangannya di Pulau Pinang, KDN dan kerajaan sebagai responden.
Anand berkata Mahkamah Tinggi adalah tempat yang salah untuk memutuskan status agama ABC dan ibunya, yang meninggal dunia pada 2017.
“Saya bersetuju dengan penghujahan responden mengenai kesan daripada kebenaran diberikan mahkamah terhadap permohonan ABC, di mana arwah ibunya telah keluar Islam.
“Mahkamah ini sudah tentu tidak mempunyai bidang kuasa untuk berbuat demikian. Perkara ini terletak di bawah bidang kuasa mahkamah syariah,” katanya dalam penghakiman setebal 16 muka surat yang dimuat naik di laman web badan kehakiman semalam.
Anand menyampaikan keputusan lisannya minggu lalu.
Beliau berkata status dan kesan pengakuan menolak Islam yang dilakukan ibu ABC bukanlah satu isu yang tidak dapat ditentukan dalam prosiding di hadapannya.
Oleh itu, responden tidak boleh dikatakan bertindak di luar undang-undang atau tidak rasional, dan keputusan mereka tidak boleh dikatakan dicemari dengan ketidakwajaran prosedur, kata Anand.
“Oleh itu, pemohon (ABC) boleh dianggap sebagai seorang Islam mengikut undang-undang dan JPN negeri nampaknya mempunyai asas untuk tidak mendaftarkan perkahwinan itu di bawah Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976,” katanya, sambil menambah bahawa perundangan hanya membenarkan JPN mendaftar perkahwinan antara bukan Islam.
Anand juga menyatakan bahawa ABC telah mendakwa tidak pernah menganut agama Islam dan berkata dia menganut agama Hindu sepanjang hidupnya.
Bagaimanapun, JPN berhujah bahawa ABC adalah seorang Muslim mengikut undang-undang kerana ibunya seorang Muslim.
Anand juga menyatakan bahawa ABC hanya berusaha untuk membatalkan keputusan JPN pada 10 Ogos tetapi tidak meminta pengisytiharan.
Hakim berkata terdapat perbezaan antara seseorang yang mendakwa dia bukan seorang Muslim ab initio (dari awal lagi) berbanding seseorang yang bukan lagi seorang Muslim.
Anand berpendapat bahawa tindakan sewajarnya untuk ABC adalah memulakan tindakan sama ada dengan memulakan saman atau writ memohon pengisytiharan berhubung status agamanya.
Mengikut fakta, datuk nenek ABC adalah Muslim.
ABC berhujah bahawa mendiang ibunya bukan seorang Muslim pada masa kelahirannya pada 1991, dengan kononnya meninggalkan kepercayaannya dalam pengakuan menolak Islam yang ditandatangani pada 1990 dan dengan menggunakan nama Hindu.
Bagaimanapun, JPN berkata ia tidak mempunyai rekod mengenai pengakuan itu.
Sijil kelahiran ABC juga merujuk kepada ibunya dengan nama Islamnya.
Dalam afidavit jawapannya, JPN berkata bapa ABC telah mengesahkan bahawa pengebumian isterinya dilakukan dengan cara Islam.
Dalam afidavitnya, ABC bagaimanapun mendakwa bahawa bapanya telah berbohong.
Anand berkata fakta ini menunjukkan bahawa terdapat pertikaian mengenai status agama ibu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan