FMT Reporters
Ibu bapa kepada seorang bekas murid tahun dua hadir di Mahkamah Sesyen Selayang mendengar keputusan saman anaknya terhadap tiga pihak termasuk bekas guru sekolah itu atas dakwaan memukul menggunakan penyapu sehingga berdarah dan menerima lima jahitan di kepala. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Seorang bekas murid tahun dua gagal dalam samannya terhadap tiga pihak, termasuk seorang bekas guru sekolah kebangsaan di Selayang atas dakwaan memukulnya menggunakan penyapu sehingga berdarah dan menerima lima jahitan di kepala.
Bernama melaporkan Hakim Mahkamah Sesyen Selayang, Nor Rajiah Mat Zin menolak saman pelajar terbabit yang kini berumur 13 tahun dan diwakili bapanya selaku plaintif, terhadap guru wanita berumur 60 tahun, guru besar sekolah sama dan kerajaan sebagai defendan pertama hingga ketiga.
“Mahkamah mendapati plaintif gagal membuktikan tuntutannya terhadap defendan pertama, kedua dan ketiga. Oleh itu, mahkamah menolak tuntutan plaintif dengan kos RM5,000 dibayar kepada defendan pertama dan RM5,000 kepada defendan kedua serta ketiga,” katanya.
Hakim itu berkata, berdasarkan keterangan saksi, plaintif berada di tempat kejadian, namun tidak disokong saksi lain di sana.
“Ia hanya disokong keterangan saksi plaintif, iaitu pegawai penyiasat dan bapa plaintif yang tiada di tempat kejadian. OIeh itu, plaintif gagal membuktikan kesnya pada imbangan kebarangkalian.”
Peguam Azmer Md Saad yang mewakili pelajar itu ketika ditemui wartawan berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini atau esok.
Plaintif memfailkan saman itu pada 17 Okt 2022 ketika berumur lapan tahun dan mendakwa semasa sesi pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu pada 3 petang 18 Okt 2019, dia bersama seorang lagi murid ternampak guru terbabit mengejar seorang rakan sekelasnya sambil memegang sebatang penyapu.
Plaintif mendakwa semasa dalam perjalanan kembali ke tempat duduk, guru itu tiba-tiba memukul kepalanya menggunakan penyapu. Hasil pemeriksaan di sebuah klinik kesihatan di Gombak mendapati dia cedera di bahagian atas kepala dan menerima lima jahitan, selain kepalanya terpaksa dibalut bagi menutup luka.
Susulan itu, bapa plaintif membuat laporan polis pada 6.45 petang hari sama dan meminta guru itu memberi penjelasan. Guru terbabit berkata mangsa dipukul kerana tiada di tempat duduk ketika sesi pembelajaran dalam kelas.
Plaintif mendakwa kegagalan semua defendan memastikan plaintif dibimbing dengan baik di sekolah dan dalam keadaan selamat sepanjang sesi persekolahan berlangsung menyebabkan guru berkenaan mendatangkan kecederaan yang dialami plaintif.
Berdasarkan pernyataan pembelaan difailkan defendan pertama (guru) pada 20 Dis 2022, wanita itu mendakwa tidak pernah memukul kepala plaintif atau murid lain menggunakan penyapu atau mana-mana bahagian penyapu.
Katanya kecederaan dialami plaintif akibat kenakalannya sendiri kerana terhantuk dan terkena bucu kayu (tempat letak kapur) papan hitam lama diletakkan papan putih di atasnya, ketika plaintif cuba meloloskan diri dari tempatnya tersekat di antara meja guru dan papan putih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan