Faisal Asyraf
Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid menunjukkan peti besi mengandungi empat jongkong emas yang ditemui semula.
KUALA LUMPUR: Polis menemui semula beberapa jongkong emas, barang kemas dan beg berjenama dicuri dari rumah pempengaruh media sosial wanita di Sentul awal bulan ini.
Empat suspek terdiri tiga wanita dan seorang lelaki berusia lingkungan 22 hingga 36 tahun ditahan pada 5 Mac, sehari selepas kejadian itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Allaudeen Abdul Majid, berkata semua barangan ditemui semula itu bernilai RM2.1 juta.
Katanya, suspek juga disyaki terbabit jenayah pecah rumah lain di Selangor dan Kuala Lumpur yang menyasarkan kediaman ahli perniagaan serta pempengaruh media sosial.
Lelaki berusia 36 tahun itu dipercayai perancang utama kumpulan berkenaan, yang dipercayai terbabit 20 kes pecah rumah dan dadah.
“Pada 16 Mac, polis Wangsa Maju mengambil alih penahanan suspek daripada polis Selangor, manakala perintah reman terhadap mereka dilanjutkan hingga 25 Mac.
“Pada 19 Mac polis berjaya menemui semula peti besi dicuri dari rumah pempengaruh itu yang dicampak di Sungai Sembrong di Batu Pahat, Johor di mana kami menemui empat jongkong emas,” katanya pada sidang media.
Allaudeen berkata, suspek tidak menyedari peti besi itu ada bahagian yang tersembunyi di mana empat jongkong emas bernilai RM1 juta tersebut disimpan.
Suspek juga membawa polis ke sebuah rumah di Batu Pahat, di mana barang kemas dan beg berjenama milik pempengaruh itu disimpan.
Awal bulan ini dilaporkan kediaman pempengaruh dan keluarganya itu dipecah masuk ketika mereka tiada di rumah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan