"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isham buat laporan polis terhadap bekas pembantu Anwar

Malaysiakini 

Bekas ketua penerangan Umno Isham Jalil hari ini membuat laporan polis terhadap Farhash Wafa Salvador berhubung dakwaan pelaburan hampir RM40 juta di sebuah syarikat yang disenarai pendek untuk kontrak kerajaan.

Isham berkata bekas setiausaha politik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu harus menjelaskan bagaimana dia memperolehi wang sebanyak itu untuk menjadi pemegang saham besar HeiTech Padu Bhd.

"Pertama, jika dia labur dalam HeiTach Padu, ia adalah satu pertaruhan besar (pelaburan).

“Jadi adakah pertaruhan ini berdasarkan maklumat dalaman yang dia ada?" soal Isham pada sidang media selepas membuat laporan itu di balai polis Dang Wangi hari ini.

Akhbar The Straits Times minggu lalu melaporkan bahawa Farhash muncul sebagai antara pemegang saham besar syarikat penyedia perkhidmatan teknologi, HeiTech Padu, yang disenari pendek untuk kontrak sistem imigresen bernilai berbilion ringgit.

Laporan itu juga menyatakan bahawa Farhash dan rakan kongsinya telah memperoleh 4.97 peratus kepentingan dalam Theta Edge, pesaing HeiTech Padu.

Farhash kemudiannya menolak kebimbangan mengenai "kapitalisme kroni" berikutan pendedahan itu.

Mengulas lanjut, Isham berkata dia akan membuat satu lagi laporan kepada SPRM, kerana perkara itu mungkin melibatkan unsur salah guna kuasa.

Di samping itu, dia juga telah menulis surat kepada Suruhanjaya Sekuriti untuk menyiasat mengenai kemungkinan elemen perdagangan dalaman.

Laporan terhadap perkara itu perlu kerana ia melibatkan RM1 bilion pembiayaan awam, tegas Isham.

"Kami juga bimbang jika ada unsur-unsur pengubahan wang haram. Jika ada, polis perlu menyiasat." katanya

Beberapa hari lalu, Isham memuat naik video di saluran TikTok, bertajuk "Kroni Anwar beli saham syarikat disenarai pendek kontrak imigresn RM1 bilion?"

Video itu mendapat tontonan lebih sejuta sebelum dipadamkan.

Farhash telah menghantar surat tuntutan kepada Isham berhubung video tersebut.

Isham bagaimanapun berkata daripada menghantar surat tuntutan kepadanya, Farhash sepatutnya hanya perlu menjawab soalannya tentang bagaimana dia memperoleh RM40 juta untuk melabur.

“Saya tanya (dia), orang ramai pun tanya dari mana dia dapat wangt. Jawab sahaja.

"Orang ramai berhak tahu kerana ia adalah kontrak kerajaan yang besar," katanya.

Isham mendakwa, walaupun tidak memegang sebarang jawatan, dia masih mempunyai pengaruh besar dalam persada politik tanah air.

Berdasarkan pengalamannya semasa menjadi sebahagian daripada kerajaan, Isham berkata sebarang kontrak kerajaan bernilai lebih RM50 juta mesti melalui Kementerian Kewangan, yang mana Anwar adalah menterinya.

"Kontrak itu berkaitan dengan imigresen yang terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri.

“Menteri Dalam Negeri ialah Saifuddin Nasution Ismail, yang juga daripada PKR. Jadi kita minta jawapan.” katanya.

Malaysiakini telah menghubungi Farhash dan sedang menunggu jawapannya.

Tiada ulasan: