"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wang RM500k dalam bagasi merah jambu, putih, siapa yang punya?

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my
HUSSEIN (dua kiri) bersama pegawainya menunjukkan beg diisi duit hampir setengah juta ringgit dijumpai di tempat letak kereta pusat beli belah. FOTO Hazreen Mohamad
HUSSEIN (dua kiri) bersama pegawainya menunjukkan beg diisi duit hampir setengah juta ringgit dijumpai di tempat letak kereta pusat beli belah. FOTO Hazreen Mohamad
Subang Jaya: Pengawal keselamatan sebuah pusat beli-belah di Damansara, di sini, tidak menyangka bagasi yang ditemui di tempat letak kenderaan di premis berkenaan berisi wang tunai melebihi RM500,000.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengawal keselamatan warga tempatan berusia 30-an semalam berkaitan penemuan sebuah bagasi berwarna merah jambu dan putih bersaiz sederhana kira-kira jam 8 pagi.

Menurutnya, hasil pengiraan mendapati beg itu berisi wang kertas not RM50 dan RM100 dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500,000.

"Kita percaya wang berkenaan adalah tulen. Bagaimanapun kita akan sahkan dengan Bank Negara Malaysia (BNM).

"Justeru, kita minta mana-mana individu yang tertinggal bagasi berisi wang lebih RM500,000 untuk tampil ke Balai Polis Petaling Jaya atau menghubungi talian 03-79662222," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, di sini, hari ini.

Menurutnya, pihak polis sudah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat beli-belah berkenaan, namun tidak menfokus kepada lokasi bagasi ditemukan.

"Susulan itu, kita membuka siasatan di bawah kertas enkuiri polis berkaitan penemuan wang berkenaan.

"Jika pemilik ingin menuntut wang berkenaan, kita minta bawa bukti-bukti berkaitan. Bagaimanapun sekiranya ia tidak dituntut, wang ini akan diserahkan kepada pihak mahkamah untuk tindakan lanjut," katanya.

Tiada ulasan: