"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terima rasuah lebih RM2 juta: SPRM tahan 15 lagi penjawat awam terbabit penyeludupan

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 15 lagi penjawat awam kerana disyaki menerima rasuah lebih RM2 juta daripada sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak secara haram melalui pintu masuk negara.
 
Tangkapan dilakukan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM susulan Op Samba 2.0 yang dijalankan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) sejak Isnin minggu lalu.

Sumber berkata, kesemua suspek lelaki berusia lingkungan antara 30-an hingga 50-an ditahan kira-kira jam 2 petang tadi di Ibu Pejabat SPRM ketika hadir memberi keterangan.

"Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki terbabit dalam perbuatan itu di antara tahun 2017 hingga 2023.

"Kesemua suspek yang ditahan dipercayai menerima wang rasuah lebih RM2 juta daripada sindiket bagi memudahkan kegiatan menyeludup tembakau kunyah, rokok, arak serta beberapa barangan lain," katanya.

Susulan tangkapan ini, AML SPRM merampas barangan seperti telefon bimbit dan turut membekukan akaun bank kesemua suspek.

Sebelum ini, AML SPRM berjaya menangkap dan menahan reman 11 individu termasuk lima orang penjawat awam.

Modus operandi sindiket ini termasuk menggunakan khidmat "forwarding agent" sebagai orang tengah bagi pembayaran habuan kepada penguat kuasa untuk melicinkan proses penyeludupan arak, rokok, tembakau dan barangan lain tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan yang sepatutnya.

Sindiket ini juga dipercayai menggunakan akaun keldai bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada penjawat awam yang bersekongkol dengan mereka.

Selain itu, sindiket ini juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan 'syarikat hantu', melalui pengurup wang dan syarikat pinjaman wang berlesen.

Sementara itu, Pengarah AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan 15 suspek terbabit dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Katanya, kesemua suspek akan dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya esok.

Tiada ulasan: