Siti Nur Shahirah
Kemeriahan bulan Ramadan pastinya tidak lengkap tanpa kewujudan bazar yang menjadi lokasi lazim orang ramai untuk membeli juadah berbuka puasa.
Namun sejak tahun-tahun kebelakangan ini semakin ramai netizen berkongsikan kisah 'kurang enak' mengenai bazar ramadan.
Bukan sahaja makanan yang dijual dikatakan lebih mahal, malah terdapat segelintir peniaga yang tidak mempedulikan kualiti makanan yang dijual.
Antara aduan yang kerap diterima ialah makanan yang dibeli basi, berkulat dan hangit.
Tidak menghairankan apabila semakin ramai pembeli menyatakan hasrat untuk memboikot bazar ramadan dan memilih memasak sendiri di rumah.
Baru-baru ini seorang wanita meluahkan kekecewaan apabila mendakwa sup daging yang dibelinya di sebuah bazar Ramadan Semabok di Melaka terdapat telur lalat.
Wanita itu yang datang dari Johor Bahru dilapor singgah di bazar tersebut untuk membeli juadah berbuka dan selepas pulang ke rumah mendapati telur lalat di bahagian rongga tulang dalam bekas sup itu.
Antara kejadian lain dikongsikan oleh NurHidayah Lubis, 48 yang mendakwa membeli popia sira dengan inti di dalamnya hangus.
Menurutnya dia membeli juadah itu di Bazar Ramadan Amart Kempas sebelum menyedari inti popia tersebut hangus ketika waktu berbuka.
“Saya berharap peniaga bazar lebih teliti semasa menyediakan makanan. Semoga tiada lagi kejadian yang merugikan seperti ini di masa akan datang,” komennya.
Melalui hantaran Facebook, Ahmad Zafran, 28, dia turut meluahkan perasaan apabila kuih pulut panggang yang dibeli di bazar Ramadan Kuala Terengganu basi dan berlendir.
“Kepada peniaga-peniaga ini diharapkan terus menjaga kualiti makanan dan tidak mengambil kesempatan atas kenaikan harga barang sehingga menjadi beban kepada pembeli,” katanya.
Seorang lagi individu berkongsi video di laman media sosial Tiktok untuk menyatakan rasa terkilan kerana membeli kuih tepung pelita yang cair di Bazar Tanjung Minyak Melaka.
Individu tersebut kesal dengan sikap peniaga sekarang yang seolah-olah bersikap lepas tangan dalam menjaga kualiti makanan asalkan mendapat keuntungan.
“Saya begitu terkilan dengan peniaga kerana sewaktu membeli keadaan kuihnya nampak baik tetapi rupanya tak sangka cair sedemikian rupa.
“Diharapkan peniaga bazar lebih berhati-hati serta peka terhadap makanan yang ingin dijual oleh mereka,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan