"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Muhd Nazmie Aizat maut dibelasah dalam bilik asrama, polis tahan 13 pelajar

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
DR Rohan Shah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian di asrama sebuah kolej di Lahad Datu. FOTO ihsan polis
DR Rohan Shah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian di asrama sebuah kolej di Lahad Datu. FOTO ihsan polis
Lahad Datu: Pelajar lelaki ditemui mati di bilik asrama dipercayai dibelasah rakan dalam kejadian di sebuah kolej vokasional, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa, Muhd Nazmie Aizat Muhd Narul Azwan, 17, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh warden asrama yang bertugas pada 6.50 pagi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh pengarah kolej berkenaan.

Katanya, mangsa adalah penghuni asrama kolej berkenaan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Hospital Lahad Datu yang hadir untuk memberikan rawatan kecemasan.

"Bertindak di atas laporan yang dibuat itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu bergegas ke lokasi kejadian.

"Siasatan mendapati kejadian berlaku di bangunan asrama lelaki kolej berkenaan dan mendapati kejadian benar berlaku berikutan penemuan mayat remaja lelaki dalam keadaan terbaring di lantai di dalam sebuah bilik asrama kolej itu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan selanjutnya mendapati terdapat kesan kecederaan dan lebam di beberapa bahagian tubuh mangsa.

"Pihak polis mengenalpasti punca kejadian ialah perselisihan faham antara mangsa dengan penghuni-penghuni asrama yang lain.

"Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu bagi proses bedah siasat untuk mengenalpasti punca kematian mangsa," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, polis menahan seramai 13 pelajar lelaki berusia 16 dan 19 tahun manakala satu rampasan alat pengecas telefon pintar yang dipercayai berkait dengan siasatan kes ini.

"Setakat ini, polis juga mengesan tujuh saksi bebas untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikuti Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Sementara itu, Dr Rohan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dalam kes ini dan polis sedang menjalankan siasatan secara terperinci dari pelbagai sudut secara telus.

Tiada ulasan: