FMT Reporters
PETALING JAYA: Mualaf dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu kerana memuat naik komen berbaur penghinaan terhadap kalimah Allah di Facebook.
Tertuduh, Ricky Shane Cagampang, 33, mengaku bersalah atas pertuduhan itu di hadapan Hakim Amir Shah Amir Hassan.
Tertuduh juga boleh dijatuhi hukuman penjara empat bulan lagi jika gagal membayar denda.
Tertuduh didakwa menyalah guna kemudahan jaringan atau perkhidmatan jaringan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia dan dituduh melakukan kesalahan itu pada 12.05 tengah hari, 17 Mac lalu melalui akaun Facebook miliknya.
Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan denda hingga RM50,000 atau dipenjara bagi tempoh hingga setahun atau kedua-duanya, selain boleh didenda RM1,000 setiap hari jika meneruskan kesalahan terbabit.
Sementara itu, ketika mitigasi, Ricky yang berasal dari Tawau memberitahu mahkamah dia seorang mualaf selepas memeluk Islam di Majlis Ugama Islam Sabah (Muis), Kota Kinabalu pada Mac 2021.
Tertuduh mendakwa hanya memberi komen terhadap hantaran di laman Facebook New Straits Times (NST) dan tidak menyedari komennya menyebabkan kesan serius hingga dia didakwa di mahkamah, lapor Harian Metro.
Katanya, dia sudah menghapuskan komen berkenaan dalam tempoh dua atau tiga minit selepas dimuat naik.
“Kecuaian tindakan saya membuat komen seperti itu dan memuat naik adalah sesuatu yang tidak terfikir dan ia betul-betul berdasarkan emosi saya ketika memberikan maklum balas kepada komen dan hantaran yang lain.
Tertuduh turut mengaku tidak berniat atau mempunyai motif untuk merendahkan agama Islam.
Dalam pada itu, Pengarah Pendakwaan Negeri, Nahra Dollah menggesa agar hukuman tegas dikenakan terhadap tertuduh kerana melakukan komen berbaur penghinaan terhadap mana-mana agama adalah kesalahan serius terutama dalam masyarakat berbilang kaum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan