BHarianonline
Penjara Harris County di pusat bandar Houston, di mana pihak berkuasa berkata bahawa Orlando Coleman, 51, yang dijatuhi hukuman tiga . - Foto AGENSI
TEXAS: Seorang lelaki yang mendakwa dirinya seorang paderi dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun atas tuduhan bigami kerana berkahwin dengan 10 wanita sejak dua dekad lalu.
Orlando Coleman, 51, dari Houston sebelum ini mengembara ke seluruh negara dengan melawat gereja kecil dan mengakui dirinya sebagai paderi.
Bagaimanapun, pendakwaraya tidak menemui sebarang bukti bahawa lelaki berkenaan adalah seorang paderi sebaliknya, dia hanya menggunakan jawatan itu untuk menambat hati wanita yang diinginkannya.
Penipuan Coleman akhirnya terbongkar pada minggu lalu apabila dia melanggar syarat percubaan tuduhan bigami dengan mengahwini seorang wanita dari Kentucy.
Menurut Penolong Peguam daerah Harris County, Texas, Vanessa Goussen, pihaknya percaya bahawa perkahwinan pertama lelaki itu adalah pada tahun 2001 bermotifkan wang.
Sejak bertahun-tahun, dia berkata, Coleman mengembara ke Delaware, Texas, Kentucky, Nebraska, Pennsylvania, Iowa, Carolina Utara, Virginia dan negeri lain untuk bertemu wanita.
Selepas memperkenalkan dirinya sebagai paderi dia mengajak wanita yang ditemui untuk berkahwin bagi menguatkan tuntutannya sebagai ahli paderi, kata Goussen.
Jika seorang wanita menerima, dia memaklumkan akan tinggal bersamanya serta membayar bil termasuk rumah dan makanan.
"Itu sahaja perkara yang dia tawarkan dan untuk mengesahkan kata-katanya – cadangan untuk berkahwin – itu adalah sesuatu yang besar," kata Goussen dalam satu temu bual pada 20 Mac.
Selepas Coleman meninggalkan isteri-isterinya, pendakwa raya berkata, sebahagian daripada mereka memfailkan perceraian.
Pendakwa raya berkata penipuan Coleman mula terungkai selepas dia berkahwin dengan wanita Houston pada 2021. Lima bulan selepas perkahwinan mereka, isteri baharu Coleman mendapati dia menerima wang daripada seorang wanita di Virginia, kata pendakwa raya.
Menurut dokumen mahkamah, isteri di Houston menghubungi wanita di Virginia menerusi Facebook dan mereka mula membincangkan mengenai lelaki itu.
Wanita di Virginia memberitahu bahawa dia berkahwin dengan lelaki berkenaan sejak 2019 dan memberikan salinan sijil perkahwinan mereka, kata dokumen mahkamah.
Wanita Virginia itu juga memaklumkan dirinya tidak pernah bercerai tetapi sudah berpisah pada 2021, apabila lelaki itu berpindah ke Texas, kata dokumen mahkamah.
Dua minggu selepas perpindahan itu, Coleman mengahwini wanita lain di Houston, kata dokumen mahkamah.
Berikutan pendedahan berkenaan, wanita Houston itu menghubungi pihak berkuasa serta memfailkan tuduhan bigami.
Coleman mengaku bersalah melakukan bigami dan pada Julai 2023 menjalani percubaan selama tiga tahun serta berpeluang untuk menghapuskan rekod lampaunya.
Tetapi hanya dua bulan selepas dia diletakkan dalam percubaan, pendakwa raya berkata, dia berkahwin lagi dengan seorang wanita di Kentucky ketika masih berkahwin dengan wanita itu di Virginia.
Selepas mengetahui mengenai perkahwinan baharu itu, pendakwa raya memfailkan usul untuk membatalkan tempoh percubaannya. Pada perbicaraan 11 Mac, seorang hakim bersetuju dengan usul itu dan menjatuhkan hukuman tiga tahun. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan