"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tubuh 'Panel Khas' siasat Lembaga Displin Umno

Salman Hussin 
MUAR, 23 Mac (Hrkh)
- Bekas Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Muar, Hassan Tun Sulaiman Ninam Shah, akan mencadangkan penubuhan Panel Khas bagi menyiasat Lembaga Displin Umno pada perhimpunan agung parti tersebut yang bermula 24 hingga 28 Mac ini.

Penubuhan panel tersebut katanya, amat perlu setelah melihat serta meneliti keputusan dibuat lembaga displin ke atas calon-calon bagi merebut jawatan tertinggi parti yang disiasat kerana terbabit dengan dakwaan mengamalkan politik wang, begitu meragukan serta menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan ahli-ahli Umno.

Beliau yang sebelum ini mencadangkan supaya lembaga displin Umno dibubarkan berikutan dakwaan kegagalan lembaga tersebut menjalankan tugas dengan telus dan adil menyifatkan keputusan lembaga tersebut baru-baru ini amat memalukan Umno dan orang melayu.

"Oleh kerana itu pada perhimpunan agung Umno kali ini saya akan mencadangkan supaya ditubuhkan sebuah panel khas bagi menyiasat lembaga displin Umno yang dilihat telah gagal menjalankan tugas yang diamanahkan kepada mereka dengan telus dan adil," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Beliau yang juga perwakilan G7 Umno Bahagian Muar seterusnya berkata, sekiranya kepimpinan tertinggi parti tidak mahu mendengar atau melayan tuntutan ahli-ahli di peringkat akar umbi maka satu tindakan drastik akan dilakukan selepas perhimpunan ini nanti.

"Ahli-ahli Umno di empat Bahagian Umno di Daerah Muar iaitu, Pagoh, Ledang, Bakri dan Muar, termasuk juga di bahagian-bahagian lain di negeri ini akan bertindak keluar parti secara beramai-ramai sekiranya calon-calon yang bertanding jawatan tertinggi Umno kali ini terdiri dari kalangan pemimpin yang terlibat dengan korupsi politik.

"Sebab itu kita mahu perhimpunan ini ditangguhkan sehingga semua calon yang bertanding jawatan tertinggi parti disiasat terlebih dulu sebelum disahkan bebas dari amalan politik wang, tegas beliau.

Beliau yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Muar selama tiga penggal, seterusnya mendedahkan, calon-calon yang bertanding jawatan tertinggi Umno kali ini sangat diragui.

"Lebih meragukan lagi keputusan lembaga displin itu sendiri dipersoalkan apabila mengenakan hukuman yang tidak adil ke atas ketiga-tiga calon terbabit yang secara jelas menunjukkan seolah-olah berlaku konspirasi dalam percaturan merebut jawatan tertinggi parti," kata beliau.

Tiada ulasan: