"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Noh Dituduh Guna Dana Rakyat Untuk Raih Sokongan Petani


SHAH ALAM, 17 April:- Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor mengecam kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar bahawa Kementeriannya tidak akan melayan pengesahan sesuatu permohonan bantuan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di empat negeri di bawah Pakatan Rakyat.


Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Noh dalam akhbar Utusan Malaysia pada 17 April lalu berbau politik dan melanggar undang-undang.

Dalam satu kenyataan media, Ean menyeru Menteri Pertanian terbabit menghormati undang-undang serta menjunjung hasrat rakyat yang memilih Pakatan Rakyat mentadbir di negeri-negeri berkenaan.

Menurut beliau, Datuk Noh mesti mengiktiraf dan menerima pengesahan JKKK yang dilantik secara sah oleh kerajaan negeri Pakatan rakyat.

Ean juga menyanggah dakwaan pengesahan bantuan tersebut perlu dibuat oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) bagi mengelak proses tersebut dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu.

"Bantuan daripada kerajaan Pusat atau negeri adalah wang rakyat, justeru percubaan untuk mengenepikan kuasa JKKK adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dari segi undang-undang," tambah beliau.

Beliau menegur cubaan Noh mempergunakan wang rakyat untuk meraih sokongan politik daripada golongan petani.

Sehubungan, katanya lagi kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengecam sekeras-kerasnya motif kerajaan BN dan menggesa kerajaan pusat supaya menghulurkan bantuan kepada rakyat melalui saluran yang sah.

Ean juga menegaskan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat akan memastikan semua projek persekutuan atau pun negeri tersebut menepati kumpulan sasaran tanpa mengira samada ia dikelolakan oleh daripada agensi pusat mahupun negeri.

Beliau menambah kerajaan Pakatan Rakyat sentiasa berusaha menyalurkan bantuan tanpa mengira latar belakang politik, kaum, agama mahupun status mereka.  

 -TVSelangor.com-

Tiada ulasan: