"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dzulkarnain: Sambut Maulidur Rasul dengan kefahaman lebih afdal

Mohd Zuharman
KOTA BARU, Feb 16:
Acara perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul perlu dilihat dari beberapa sudut rasional dan tidak wajar jika ia dipersoalkan sehingga tercetusnya satu fenomena bersifat paradoks, sekali gus mengelirukan orang ramai, kata seorang pendakwah tempatan.

Dzulkarnain Hamzah, pengacara rancangan Kalam Suci Astro Oasis berkata sebenarnya cara sambutan hari Maulidur Rasul adalah luas dan pengajaran di sebalik hari tersebut tidak terletak pada perarakan.

“Kalau di Arab Saudi, tidak dibenarkan langsung berarak... sebab itu umrah tidak dibuka pada bulan Rabiul Awal.

“Mungkin... kalau bercakap pasal perarakan ini banyak juga konsep yang hendak kita jaga barangkali.

“Namun bagi saya sambut dengan kefahaman, itu yang lebih afdal. Sebab dengan kefahaman itu akan ada satu kekuatan pada kita.

“Kalau sekadar sambut untuk orang lihat, hakikatnya tiada apa,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Persoalan acara perarakan dalam sambutan Maulidur Rasul menjadi isu di Pulau Pinang apabila kerajaan negeri dikatakan telah bertindak membatalkan acara berkenaan.

Justeru, Ketua Menterinya Lim Guan Eng diserang dengan pelbagai hujah kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) sehingga dilabel sebagai anti-Islam.

Jumaat lalu, bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan Pulau Pinang tidak wajar membatalkan perarakan Maulidur Rasul kerana ia adalah perarakan aman dan tidak mendatangkan keburukan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata tindakan kerajaan negeri yang bertindak demikian menggambarkan seolah-olah Ketua Menteri itu tidak menyokong hasrat dan cita-cita orang Islam.

Muhyiddin bertegas, perkara yang telah menjadi amalan tradisi tidak sepatutnya diberhentikan apatah lagi dalam situasi negara yang perlu sentiasa menjaga sensitiviti semua kaum.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: