"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Keadaan sudah terbalik: MB

SHAH ALAM: Demonstrasi bantahan oleh 1,000 ahli Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) dan UMNO kelmarin, merupakan pengajaran kepada Barisan Nasional (BN) yang selama ini memprotes tindakan reformasi penyokong parti pembangkang.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan keadaan pada hari ini sudah berubah dan beliau tidak menghalang sebarang bantahan sekiranya perjuangan yang dibawa berada di landasan yang betul.

“Dulu BN marah apabila reformasi jalanan dan tunjuk perasaan. Sekarang sudah jadi terbalik, ini pengajaran untuk mereka.

“Kita tidak halang perkara ini kerana kita juga dari reformasi. Tetapi saya harap orang-orang yang terlibat mesti kaji dahulu perkara yang diperjuangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Upacara Penganugerahan pada Majlis Konvokesyen Ke-14 Kolej Antarabangsa Inpens bertempat di Auditorium Dewan Jubli Perak di sini, semalam.

Abdul Khalid turut menegaskan keputusan yang diambil terhadap Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) dilakukan secara profesional dan tidak membabitkan kepentingan politik seperti yang didakwa pelbagai pihak sebelum ini.

“Sebagai pentadbir negeri saya mesti jaga harta negeri dan pastikan ia digunakan dengan cara yang betul,” katanya.

Mengulas keputusan Kerajaan Negeri untuk memulangkan semula cukai tanah RM5.4 juta daripada YBK, Abdul Khalid berkata tindakan itu disebabkan terdapat kekeliruan yang tidak dapat dijelaskan oleh pentadbiran sebelum ini.

“Cukai itu dipulangkan kerana ada beberapa perkara yang pentadbiran dahulu tidak dapat jelaskan, jadi kita minta mereka buat permohonan semula.

“Salah satu sebabnya ialah mengapa selama 13 tahun cukai hasil tidak dibayar, adakah mereka terlupa? Jadi kita kena betulkan pentadbiran YBK,” katanya.

Kelmarin, kira-kira 1,000 ahli Perkasa dan UMNO berarak ke Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk menyerahkan memorandum bantahan berhubung tindakan Kerajaan Negeri terhadap YBK.

Dalam pada itu katanya, Kerajaan Negeri sedang mengkaji tindakan terbaik yang perlu diambil dan akan memberi penjelasan kepada seluruh rakyat negeri ini berhubung tindakan yang diambil terhadap YBK.

Terdahulu, Abdul Khalid menyampaikan Diploma dan Sijil Akademik kepada enam pelajar serta Sijil Kemahiran Malaysia kepada 344 pelajar pada majlis konvokesyen itu.

Selain itu, Abdul Khalid turut menyampaikan Anugerah Khas Dato’ Menteri Besar kepada Muhammad Aisar Zainal Abidin dari jurusan Juruteknik Sistem Komputer dan Azren Nurul Shasa Mohd Sharom dari jurusan Juruestetik.

Tiada ulasan: