"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Masuk Selangor beri salam

Roslan SMS
Akhbar The Star hari ini melaporkan darihal tindakan Majlis Perbandaran Kelang (MPK) menurunkan papan tanda (bill board) dan kain-kain rentang Majlis Rumah Terbuka Malaysia yang akan dianjurkan oleh kerajaan pusat hujung minggu ini di Pandamaran Kelang yang akan dihadiri oleh Perdana Menteri.

Laporan akhbar tersebut menyebut kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor sebagai angkuh dan mahu menunjukkan kuasa. Manakala EXCO Kerajaan Tempatan Ronnie Liu menjelaskan bahawa papan tanda dan kain-kain rentang berkenaan diambil tindakan kerana tidak memperolehi kebenaran dan permit dari pihak MPK.

Saya difahamkan pihak kerajaan negeri dan MPK tidak langsung dilibatkan dalam perayaan ini.

Saya bersetuju dengan Ronnie malah pihak penganjur termasuklah MCA dan Kementerian Penerangan seharusnya menghormati kerajaan negeri. Kalau mahu anjurkan majlis di negeri Selangor,alangkah manisnya memberi salam terlebih dahulu, ini tidak, terjun dan langgar bagaikan penyamun tidak beradab. Saya percaya jika kerajaan negeri turut dilibatkan, pasti majlis yang lebih besar dan bermakna dapat diadakan, tetapi ternyata pihak BN semata-mata mahu mempolitikkan majlis ini, tambah-tambah Pandamaran, iaitu DUN Ronnie sendiri dipilih sebagai tuan rumah.

Ini bukan kali pertama kerajaan pusat bertindak sedemkian. Pada bulan Ramadhan lalu PM dibawa oleh Umno Selangor masuk ke masjid untuk mengagih-agihkan bantuan penuh dengan kain rentang dan poster termasuk yang berlogo BN dan Umno sekitar pekan Kuang. Saya difahamkan ketika itu Menteri Besar dan EXCO Agama langsung tidak dimaklumkan berkenaan majlis berkenaan.

Inilah perangai BN yang dibenci oleh rakyat Selangor. Salah guna kuasa dan tidak menghormati pihak lain. Setahu saya kerajaan negeri tidak akan menghalang malah akan menggalakkan sebarang program bersama antara kerajaan pusat dan negeri. Negeri Selangor adalah sebahagian dari Persekutuan Malaysia, dan di Selangor rakyat telah memilih dan memberi mandat pada Pakatan Rakyat untuk memerintah.

Hormatilah pilihan rakyat biar kita hidup dalam suasana aman, hormat-menghormati dan mematuhi perturan dan undang-undang yang ada.

Syabas kepada MPK dan YB Ronnie. Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor ada maruah, dan akan kekal mempertahankan amanah yang rakyat berikan kepada kami.

Tiada ulasan: