Dalam kunjungan kira-kira 45 minit pada jam 10.30 pagi tadi di pejabat wakil rakyat PKR itu di pekan Kapar, SPRM meminta Manikavasagam memberikan kerjasama dan menyerahkan dokumen berkaitan kepada mereka.
Bagaimanapun, tambahnya, hanya dua yang menemuinya di pejabat manakala dua lagi hanya menunggu dalam kereta.
Beliau mengaku enggan memberikan sebarang kerjasama kepada suruhanjaya itu kerana "tidak percaya kepada SPRM"
"Macam mana saya hendak percaya (pada SPRM), sudah banyak isu yang dilaporkan tapi tidak selesai-selesai. Macam-macam kes, dengan (kematian) Teoh Beng Hock lagi," kata bekas naib pengerusi perhubungan PKR Selangor itu.
Manikavasagam sebelum ini dilaporkan berkata pegawai atasan KSSB mengamalkan terlalu banyak rasuah dan perkara itu perlu dibersihkan segera oleh Menteri Besar Khalid Ibrahim.
Manikavasagam juga dilaporkan memberi masa 72 jam bermula Khalid untuk mengambil tindakan segera terhadap pegawai yang dimaksudkannya itu sebelum beliau mendedahkan nama pegawai yang terlibat.
Esok dedah nama terbabit
Ketika ditanya kenapa sesi tersebut mengambil masa yang agak lama, Manikavasagam menjawab: "Sebab saya berhujah (enggan bekerjasama) dengan mereka".
Beliau juga berkata bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk dikenakan waran ekoran keengganannya memberikan kerjasama kepada suruhanjaya terbabit.
"Saya bukan hendak buat laporan polis sangat, tetapi Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim cabar," jelasnya.
"Esok saya akan serahkan dokumen berkaitan dan beritahu nama tiga pegawai yang terbabit (dalam dakwaan penyelewengan KSSB)."
Semalam, Khalid Ibrahim meminta Manikavasagam mendedahkan nama pegawai atasan KSSB yang didakwanya dengan segera dan membuat laporan polis agar kerajaan negeri dapat mengambil tindakan sewajarnya.
KSSB ditubuhkan oleh kerajaan di bawah pakatan pembangkang bagi mempelopori industri pasir dan bahan batuan serta mineral lain secara bersepadu di Selangor.
Ia menjadi misi utama KSSB untuk menjayakan Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan