Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan atau Selcat masih meneliti keterangan dan dokumen sekitar isu Kumpulan Semeseta Sdn Bhd, dan akan mengemukakan rumusan siasatan penuh selewat-lewatnya November depan.
Pengerusi Selcat Teng Chang Khim berkata Selcat memandang serius dakwaan penyelewengan dalam pentadbiran KKSB, lantas pihaknya tidak boleh bersikap melulu dan terburu-buru dalam menyiasat dakwaan itu.
Teng menjelaskan siasatan keatas isu ini belum selesai selagi Selcat belum mendengar keterangan balas dari KKSB menjawab dakwaan-dakwaan yang dibuat seorang kontraktor, Cheong Hoong Wooi dan Chai Eng.
Cheong Hoong Wooi mendakwa beliau tidak berpuas hati dengan Pegawai Eksekutif KSSB, Wong Swee Leong apabila terpaksa membayar 14 ringgit untuk setan pasir berbanding dengan 12 ringgit 50 sen yang dipersetujui sebelumnya.
Manakala seorang lagi pengadu, Chai Eng seorang peniaga yang mempunyai urusniaga pasir dengan KSSB mendakwa pada permulaannya KSSB tidak pernah langsung menghantar penyata akaun setiap tiga bulan.
“saya kira pada masa itu juga semasa saya menangguhkan pendengaran awam, saya ada menyebut bahawa pihak selcat telah pun mendengar keterangan daripada 2 orang pengadu, dan kita akan menjemput pihak Kumpulan Semesta untuk membalas, jadi saya tangguhkan sebenarnya”, kata Teng.
Penemuan awal Selcat mendapati tiada bukti kukuh mengesahkan wujudnya penyelewengan dalam KKSB.
Selcat bagaimanapun mahu menjalankan siasatan yang terperinci keatas dakwaan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam dan lebih ramai saksi atau pengadu mungkin dipanggil sekiranya diperlukan.
“ selepas pendengaran awam, jawatankuasa selcat juga perlu mesyuarat mengkaji semula semua keterangan, berbincang dan mendrafkan satu penyata untuk dibentangkan didewan negeri,” ulas Teng.
Pembikinan penyata siasatan ini bagaimanapun mengambil masa kerana ia dikendalikan oleh ketujuh-tujuh anggota panel, yang juga terdiri dari Teng sendiri dan dua Adun Barisan Nasional.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan