Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 7 Jun: Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa meminta kerajaan Malaysia melakukan serangan ekonomi ke atas rejim zionis Israel.
Malaysia, katanya perlu melakukan usaha kolektif bersama negara antarabangsa bagi melumpuhkan ekonomi Israel.
"Maka usaha kolektif perlu dilakukan bagi menyekat dan melumpuhkan ekonomi negara haram Yahudi," katanya yang juga Ahli Parlimen Bachok semasa membahaskan usul mengecam tindakan rejim zionis Israel terhadap misi kemanusiaan ke Gaza di Dewan Rakyat, petang ini. Usul itu dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pagi tadi.
Kempen boikot juga, katanya perlu diperhalusi dan dijalankan secara sistematik dengan mengambil kira nasib pekerja negara ini di syarikat berkaitan.
Selain itu, beliau turut mencadangkan agar Malaysia memenuhi kebajikan pelajar Palestin di Malaysia seperti bantuan biasiswa dan kesihatan sebagai sokongan perjuangan rakyat Palestin.
"Bagaimana kita harus membantu rakyat Palestin khasnya golongan muda. Saya ingin mendapatkan penjelasan berapa banyakkah biasiswa atau kemudahan pelajaran yang diberikan kepada rakyat Palestin yang datang belajar di Malaysia," katanya.
Tambahnya, pintu sempadan Rafah yang kini dibuka perlu digunakan sebaik mungkin menyalurkan bantuan perubatan seperti dibuat kepada negara Bosnia.
Beliau juga menggesa agar kerajaan Malaysia menjadikan isu Palestin sebagai agenda kerajaan dan memperhebat program kesedaran kepada rakayat.
Menurutnya, kerajaan juga perlu mengurangkan program hiburan agar anak muda tidak lupa isu Palestin ini.
"Anak muda di sana dibunuh dengan peluru, di sini dengan hiburan," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan