"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengganas: Siapakah yang benar dalam berkata-kata?

nurdin
Jangan ‘kunyah semua dan telan bulat-bulat’ apa yang mereka kata mengenai kita!

“Saya telah dianiaya. Saya tidak tahu dan tidak terbabit dengan sebarang pergerakan serta latihan di Aceh”.

Itu kata-kata yang diucapkan tokoh ulama Indonesia, Abu Bakar Bashir kepada media berikutan penahanan terbaharunya oleh pihak berkuasa negara itu, hari ini.

Ketika
artikel ini ditulis, media antarabangsa melaporkan tokoh ulama itu baharu sahaja ditahan kerana didakwa terbabit dengan rangkaian baharu militan.

Menurut peguamnya, Muhammad Ali, penahanan anak guamnya itu dilakukan pada sebelah pagi hari ini di daerah Ciamis, Barat Jawa.Associated Press (AP) pula melaporkan, Abu Bakar ditahan berikutan dakwaan hubungan beliau dengan beberapa kem latihan puak militan Islam di Aceh.

Penahanan itu dibuat dua hari selepas unit D88 menangkap dua orang dipercayai mahu menyerang Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dan melakukan serangan ala-Mumbai terhadap pelancong asing.

Operasi serbuan antikeganasan di seluruh negara itu adalah berikutan penemuan kem latihan di Aceh, Februari lalu.

Ketua Unit Anti Pengganas negara itu, Ansyaad Mbai memberitahu Reuters, polis mempunyai bukti kukuh bahawa Abu Bakar ada hubungan dengan beberapa kem latihan di wilayah Aceh yang merancang melakukan serangan ke atas pemimpin mereka.

Abu Bakar adalah ketua Jemaah Ansharut Tauhid (JAT) dan pengasas Madrasah al-Mukmin di Ngruki, Solo yang melahirkan beberapa graduan yang kemudian didakwa terbabit dalam serangan pengganas di Indonesia.

Sebelum ini, beliau pernah dipenjarakan kerana didakwa mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas yang mengebom Bali pada 2002 sehingga meragut 202 nyawa, sebahagian besarnya pelancong.

Kita tidak tahu siapa yang benar dalam berkata-kata dan bertindak. Namun fenomena mutakhir amat membimbangkan jika kita hanya menjadi alat kepada telunjuk pihak tertentu, terutama di barat, yang sering mensasarkan golongan ulama dengan mengaitkan mereka sebagai ‘pengganas’.

Penulis tidak bermaksud Abu Bakar berada di pihak benar atau tidak pernah terbabit dengan sebarang aktiviti keganasan sama ada sebagai perancang, penasihat atau pengarah operasi. Mungkin tidak siapa tahu dengan tepat, kecuali pihak berkuasa negara itu sendiri – itupun jika benar mereka bertindak atas niat membanteras keganasan, bukan kerana mengikut telunjuk kuasa barat.

Kita tidak tahu dengan tepat apa peranan dan siapa di sebalik kumpulan pendesak tertentu di barat, termasuk International Crisis Group berpejabat di Brussels, yang dalam laporannya bulan lalu mendakwa kumpulan berkenaan terbabit dengan komplot keganasan yang berjaya digagalkan polis.

Penulis tertarik dengan apa yang diungkapkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini, dalam satu majlis pertemuan dengan mahasiswa tempatan.

Menurut beliau, barat sering melabelkan orang Islam sebagai pengganas, tetapi pada masa sama mereka melontarkan bom dari udara ke atas orang Islam, termasuk orang awam, kanak-kanak dan warga tua.

“Apakah (dengan cara begitu) mereka (barat) lebih baik (lebih tidak ganas) berbanding kita orang Islam?” soal beliau.

Abu Bakar sendiri, satu daripada ikon Islam yang dikaitkan dengan keganasan, menafikan sama sekali pembabitan beliau dengan aktiviti keganasan dan penemuan kem pengganas di Aceh.

Seperti dilaporkan, beliau menegaskan:

“Dari segi organisasi dan aktiviti, JAT berbeza dengan kumpulan pengganas di Aceh. Tetapi JAT masih dikaitkan dengan pergerakan militan”.

Tulisan ini tidak berniat mengajak perbahasan mengenai siapa yang benar – ulama, penguasa Islam atau barat. Tulisan ini sekadar untuk mengingatkan individu muslim yang membaca artikel ini agar tidak ‘ikut menari mengikut rentak gendang paluan’ barat.

Sementara kita tidak menafikan apa dibawa tamadun barat ada kebaikannya di sana sini, pada masa sama apa yang mereka labelkan dan canangkan mengenai Islam tidak semestinya benar atau molek belaka.

Mereka ada agenda juga. Jangan terpedaya . Jangan ‘kunyah semua dan telan bulat-bulat’ apa yang mereka kata mengenai kita!

-inimajalah.com-

Tiada ulasan: