"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Guna gambar Sultan: Polis rekod keterangan 39 individu

Polis sudah merekodkan keterangan daripada 39 individu termasuk ahli politik bagi membantu siasatan berhubung tindakan sebuah parti politik yang menggunakan poster gambar Sultan Johor, Sultan Ibrahim pada majlis ceramah di Batu Pahat, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata keterangan semua individu itu diambil sejurus polis menerima sembilan aduan daripada beberapa pihak mengenai perkara itu.

"Ketua Polis Daerah Batu Pahat dan pasukan Cawangan Khas kini ditugaskan untuk menyiasat aduan berkenaan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di Johor Bahru, hari ini.

NONEMohd Mokhtar berkata siasatan mengenai perkara itu dibuat mengikut Akta Hasutan dan beliau menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu supaya tampil membantu siasatan polis.

Semalam, Sultan Ibrahim ketika bertitah pada majlis penutup Kembara Mahkota Johor Bermotosikal 2010 di Kota Tinggi, melahirkan rasa murka terhadap tindakan menggunakan gambar baginda itu.

Dalam titah baginda, Sultan Ibrahim mengingatkan rakyat negeri ini supaya tidak terpengaruh dengan tindakan itu yang disifatkan sebagai boleh memecah-belahkan kerukunan hidup bermasyarakat di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Mokhtar berkata polis menahan dua lelaki berumur 40 dan 49 tahun berhubung kes menipu seorang lelaki dengan menawarkan sijil kurniaan Pingat Ibrahim Sultan II (PIS II) palsu berharga RM5,000, di Seri Alam, di Johor Bahru.

Beliau berkata lelaki berumur 37 tahun itu membuat laporan mengenai penipuan itu pada Khamis lepas.

"Mangsa telah membayar RM3,000 kepada kedua-dua lelaki berkenaan bagi mendapatkan sijil itu. Setelah menyedari sijil berkenaan adalah palsu, mangsa kemudian membuat laporan polis mengenainya," katanya.

Mohd Mokhtar berkata beliau sudah memaklumkan kejadian penipuan itu kepada Sultan Johor dan meminta orang ramai supaya berhati-hati dengan kejadian seumpama itu yang mencemar institusi diraja Johor.

Katanya orang ramai perlu mengetahui dengan jelas bahawa sebarang kurniaan pingat adalah hak mutlak Sultan Johor dan orang ramai yang mempunyai sebarang masalah atau pertanyaan boleh menghubungi Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor di talian 07-2220351.

-Bernama-

Tiada ulasan: