"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Timbalan Pengurus Yayasan Selangor diarah cuti

Harakahdaily
SHAH ALAM, 14 Nov: Kerajaan Negeri telah mengarahkan Timbalan Pengurus Besar Yayasan Selangor, Mohd Sharifuldin Sulaiman mengambil cuti bergaji selama sebulan berkuat-kuasa serta merta.

Ianya bagi membolehkan siasatan selesai berhubung majlis makan tengahari yayasan itu terlalu membazir sehingga Sultan Selangor membatalkan penyertaan baginda ke majlis itu.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam kenyataannya berkata, laporan awal yang diterima menunjukkan penglibatan pejabat Timbalan Pengurus Besar Yayasan itu.

Bagi memastikan siasatan dilakukan dengan cepat dan bebas, beliau telah diminta bercuti dengan gaji penuh selama sebulan.

"Berhubung Yayasan Selangor, Kerajaan Negeri telah mengarahkan siasatan awal dilakukan terhadap keputusan kontroversi untuk membelanjakan RM300,000 bagi Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-40 Yayasan Selangor," kata Khalid.

Kerajaan Selangor juga memutuskan membekukan sementara semua aktiviti yang membabitkan Jabatan Perhubungan Awam PKNS sehingga laporan penuh audit siap yang dijangka akhir bulan ini.

Ini berikutan kritikan yang dibuat terhadap PKNS yang didakwa menaja majlis perkahwinan seorang kenamaan baru-baru ini.

"Dengan keputusan ini, Jabatan Perhubungan Awam PKNS diarah supaya melaporkan kepada Pejabat Menteri Besar sebelum mengadakan sebarang aktiviti termasuk membuat keputusan-keputusan penting.

"Langkah ini untuk memastikan setiap aktiviti akan dipertimbangkan secara teliti dari aspek kepentingan, keperluan dan belanjawan sebelum dilaksanakan.

"Jabatan Perhubungan Awam PKNS dijangka berjalan seperti biasa sebaik laporan audit diterima dan keputusan mengenainya diumumkan," kata Khalid dalam kenyataannya.

Kerajaan Selangor, kata Khalid, mengambil kira semua pandangan dalam memastikan pentadbiran Negeri, agensi kerajaan dan anak-anak syarikatnya diuruskan dengan baik dan setiap wang yang dibelanjakan digunakan untuk kepentingan dan kebaikan rakyat.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, katanya, Kerajaan Negeri telah mengarahkan juru audit bebas untuk menyiasat semua dakwaan yang dibangkitkan berhubung dengan urustadbir Perbadanan Kerajaan Negeri Selangor (PKNS).

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, katanya, menghargai setiap maklumat salahlaku bagi memastikan pentadbiran negeri dan anak syarikat di uruskan dengan telus dan bertanggungjawab.

" Kita juga tidak akan teragak-agak untuk membuat keputusan berani termasuk membawa mana-mana individu yang terbukti melakukan salahguna kuasa ke muka pengadilan," katanya.

Tiada ulasan: