"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu pertemuan 24 Dis PAS-Umno sudah selesai, kata Anwar

Syed Mu’az Syed Putra
Nik Aziz Nik Mat (kiri) bersama Anwar Ibrahim sempena ceramah di Shah Alam malam tadi. — Foto oleh Choo Choy May
SHAH ALAM, 10 Jan: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Rakyat sudah menyelesaikan kontroversi berhubung pertemuan kepimpinan PAS bersama Umno sempena santapan di Istana Terengganu 24 Disember lalu.

Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, Pakatan Rakyat sudah dimaklumkan mengenai pertemuan bulan lalu, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya pada majlis santapan anjuran Yang di-Pertuan Agong.

“Tidak perlu nak panjangkan lagi, kita sudah ambil maklum,” katanya.

“Tiada masalah dan tafsiran lain (pertemuan 24 Disember) itu,” kata Anwar pada sidang media selepas program Solat Hajat dan Pidato Perdana di Stadium Malawati malam tadi.

Sebelum menghadiri program anjuran PAS itu, Anwar dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terlebih dahulu telah mengadakan pertemuan bagi membincangkan soal “pertemuan 24 Disember” itu.

Pada sidang media yang diadakan malam tadi, Hadi berkata, pihaknya telah menjelaskan “pertemuan 24 Disember itu” kepada Pakatan Rakyat.

“Kita sudah maklumkan, kita juga sudah buat kenyataan terbuka mengenainya (pertemuan 24 Disember).

“Bila kita maklumkan tidak perlu saya beritahu, jadi jangan nak soal siasat macam polis,” kata Ahli Parlimen Marang.

Dalam laporannya petang semalam, The Malaysian Insider menyebut, Anwar dan Hadi dijangka mengadakan pertemuan petang semalam - langkah yang dilihat bertujuan menjernihkan hubungan Pakatan Rakyat yang bermula dengan siri isu sejak awal tahun ini.

Pertemuan tertutup itu diadakan beberapa jam sebelum majlis solat hajat dan ceramah perdana di sini.

Agenda utama perjumpaan Ketua Pembangkang dan Presiden PAS itu dikatakan memfokus pertemuan 24 Disember.

Ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat ahli jawatankuasa kerja pusat di ibu negara semalam, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, pihaknya bersedia untuk memberi penjelasan kepada pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat jika perlu.

Pertemuan 24 Disember juga disentuh pada mesyuarat semalam, kata beliau.

Jumaat lalu, Najib mengambil langkah Nik Aziz untuk tidak mendedahkan hasil pertemuan bersama pemimpin parti itu 24 Disember lalu, yang dihadiri atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Sebagai langkah menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri juga memutuskan untuk tidak berkongsi maklumat mengenai pertemuan sempena majlis santapan di Istana Terengganu.

“Kami kena menghormati persefahaman pertemuan dan Yang di-Pertuan mahukan ia satu majlis peribadi,” kata Najib pada sidang media di sini hari ini.

Najib berkata beliau bersama pemimpin-pemimpin PAS menghadiri majlis makan malam demi menghormati undangan Yang di-Pertuan Agong.

“Sebab itu kami hadir. Itu sahaja. Tiada komen lagi,” kata Najib yang diminta mengulas mengenai laporn The Malaysian Insider awal minggu lalu.

Dalam kenyataan terbaru sehari sebelum itu, Nik Aziz menyifatkan perkara tersebut telah selesai dan tidak perlu dibincangkan lagi.

“Tak ada dah, tutup ‘book’ (buku) dah,” kata beliau.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: