"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saya tidak hadir bakar Interlok - Dr Mariah

Harakahdaily
SHAH ALAM, 10 Jan: Anggota Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmood menjelas, beliau telah meninggalkan majlis bantahan novel Interlok ketika buku novel dan gambar penulisnya mula dibakar kerana tidak merestui perbuatan itu.
Bagaimanapun, beliau mengaku menyertai perhimpunan itu sebelum novel itu dibakar bertujuan untuk menyejukkan kemarahan mereka dan bukan untuk mengapi-apikannya.

"Saya tidak semestinya bersetuju dengan mereka tetapi kehadiran saya boleh menyejukkan kemarahan mereka. Kebetulan penulisnya ialah seorang Melayu sebangsa dengan saya. Ketidakhadiran saya mungkin akan disalah tafsir sebagai menyebelahi penulis Melayu dan saya tidak berempati dengan mereka," jelas Dr Mariah dalam penjelasannya berikutan laporan media beliau menyertai majlis membakar novel itu.

Dr Mariah dilaporkan telah menyertai majlis pembakaran novel itu baru-baru ini.

Menurut Mariah, beliau menyanjungi karya penulis dan sasterawan Negara, Abdullah Hussein, walaupun belum membacanya.

"Tentulah ia sebuah karya seni yang hebat untuk mendapat pengiktirafan ini," katanya.

Dr Mariah (gambar bawah) juga berkata, kebebasan berkarya dan bersuara perlu dihormati dan dijamin dalam perlembagaan.
Bagaimanapun, katanya, beliau juga bersimpati dan memahami kenapa orang India marah dan membantah novel tersebut dijadikan buku teks.

"Mereka berhak untuk menolak perkara-perkara yang mereka tanggapi negatif di dalam pendidikan anak mereka. Sebahagian kaum India mahu beberapa frasa dan bahagian tertentu dibuang dari novel tersebut sementara ada yang berpendapat novel tersebut tidak wajar menjadi teks.

Namun, katanya, beliau tidak bersetuju buku tersebut diharamkan atas prinsip kebebasan berkarya dan bersuara.

"Saya mempersoalkan motif Tan Sri Muhyiddin Yassin memperkenalkan novel tersebut ke sekolah. Saya yakin beliau tahu sangat isi novel dan potensi konflik yang akan timbul. Saya percaya dan yakin bahawa ada motif politik yang tersirat," katanya.

Mesej yang hendak dihantar kepada murid-murid India ialah “ketahui lah asal usul anda” apabila membaca buku itu, tulis Mariah.

Semenjak peristiwa Hindraf turun ke jalan pada bulan November 2007, kaum India menjadi begitu sedar tentang layanan yang mereka terima sebelum itu dan mereka sangat sensitif sebarang perkara yang ditanggapi menghina mereka, katanya.

"Kenapa novel ini dan tidak novel lain ketika hubungan kaum berada ditahap yang rendah akibat tindakan mereka yang melaungkan ketuanan Melayu?" soal beliau.

Tiada ulasan: