Syed Mu’az Syed Putra
GOMBAK, 17 Feb: Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya tuduhan liwat yang dikenakan terhadapnya tidak mungkin akan digugurkan walaupun wujud bukti baru menunjukkan tiada unsur penetrasi sebagaimana didedahkan di mahkamah semalam.
Ini kerana menurut Anwar, kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) menjurus kepada corak pemerintahan bekas presiden Mesir Hosni Mubarak, yang akan “mengorbankan” sesiapa sahaja demi kepentingan sendiri.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, bukti terbaru yang muncul berdasarkan kandungan laporan awal proforma, yang diberitahu di mahkamah semalam, jelas membuktikan beliau tidak terlibat tuduhan liwat ke atas bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Ketika perbicaraan kes tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, laporan awal menunjukkan Saiful ada memaklumkan doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) bahawa Anwar telah “cuba” untuk meliwatnya dan tiada penetrasi.
Dr Khairul Hakim, salah seorang doktor HKL yang memeriksa Saiful mengakui bahawa laporan proforma menyebut Saiful ada memberitahu doktor-doktor pada 28 Jun 2008 tentang adanya cubaan untuk meliwatnya dan seks oral tetapi bukan penetrasi yang sebenar.
“Tapi saya didakwa meliwat bukan cubaan meliwat, dunia mana pun kes seperti ini sudah dibuang,” kata Ketua Umum Pakatan Rakyat yang mengulangi kesnya harus ditarik balik.
“Tapi dalam kes (Datuk Seri) Najib (Razak) dan (Datin Seri) Rosmah (Mansor) ala Mubarak tidak boleh,” kata Anwar pada majlis pelancaran Kempen Penerangan Bantah Saman Ekor di sini malam tadi.
Ekoran bukti baru itu, Anwar mahu tuduhan liwat terhadapnya digugurkan.
Ini kali kedua Anwar berhadapan dengan kes liwat dan beliau seringkali mendakwa tuduhan ke atasnya bermotifkan politik.
Perbicaraan disambung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Peguam utama Anwar, Karpal Singh berhujah bahawa penemuan bukti baru itu menunjukkan tuduhan ke atas anak guamannya tidak berasas.
Semalam, Karpal berkata hanya Peguam Negara yang ada kuasa untuk menarik balik tuduhan ke atas anak guamannya.
-malaysianinsider-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan