"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kos guaman naik (Dari RM2,000 ke RM10,000): Kehakiman nafi terlibat

Sistem Kehakiman tidak "bersalah" mahupun terlibat dengan kenaikan tinggi yuran guaman disebabkan banyak sistem baru diperkenalkan oleh mahkamah termasuk memendekkan tempoh perbicaraan sesuatu kes, kata Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi.

Beliau berkata penambahbaikan sistem kehakiman lebih menguntungkan rakyat dalam memberi perkhidmatan yang cekap dan pantas demi keadilan.

Untuk mempercepatkan perjalanan sesuatu kes, mahkamah telah memperkemaskan sistem pentadbirannya agar lebih cekap dan mahkamah turut tegas dalam aspek penangguhan kes agar tiada kes dibicarakan tertunggak lama, katanya.

"Kita tidak mahu sesuatu kes itu ditangguhkan banyak kali atau lama kerana ianya menjadi faktor banyak kes tertunggak. Hasilnya kini mahkamah tidak lagi mengalami kes tertunggak yang begitu lama," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Kompleks Mahkamah Kota Bharu hari ini.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim Besar Malaya Tan Sri Ariffin Zakaria.
Tertuduh larikan diri

Beliau mengulas kenyataan Presiden Majlis Peguam Ragunath Kesavan semalam bahawa yuran guaman dijangka meningkat sehingga 400 peratus iaitu daripada RM2,000 kini kepada sehingga RM10,000 berikutan banyak sistem baru diperkenalkan oleh mahkamah dan tempoh perbicaraan kes yang semakin pendek menyebabkan beban kerja peguam turut bertambah.

Zaki berkata disebabkan penangguhan kes, pernah terjadi perbicaraan satu kes rogol di Sungai Petani, Kedah terpaksa ditangguhkan 56 kali dan akhirnya tertuduh melarikan diri.

"Ini tidak adil pada mangsa dan mereka terbabit juga perlu datang 56 kali ke mahkamah, ini menyusahkan banyak pihak. Ia bukan salah mahkamah kerana pihak yang meminta penangguhan kes, sama ada pihak peguam atau pendakwa raya.

"Tetapi rakyat nampak salah mahkamah. Sebenarnya tidak," katanya.

Malahan, beliau berkata bagi peguam jika mereka dapat menangguhkan kes berkali-kali mereka dapat mengenakan bayaran ke atas anak guam mereka setiap kali penangguhan kes dibuat.

Justeru dengan kes di mahkamah dapat dipercepatkan, katanya ianya dapat meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman negara dan juga dapat mengurangkan kos litigasi kepada rakyat serta mengurangkan masa penyelesaian kes.
-Bernama-

Tiada ulasan: