"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno, Jangan Bodohkan Rakyat Selangor, kata Azmin

Jamilah Kamarudin
PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR Azmin Ali menafikan dakwaan Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) bahawa parti itu sedang merancang satu komplot supaya Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh melarikan diri ke luar negara dan memperoleh suaka politik. 

Semalam, Perkasa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Dang Wangi mendakwa mempunyai maklumat bahawa Anwar sedang mengatur rancangan termasuk cubaan membangkitkan kemarahan rakyat ‘ala Mesir’ sekaligus dapat mengelakkan daripada menghadiri prosoding tuduhan Liwat II yang sedang dihadapinya.



Ketua Wira Perkasa Armand Azha Abu Hanifah mendakwa rancangan itu dibincangkan semasa satu perjumpaan pemimpin PKR di ibu pejabat PKR pada 2 Febuari lalu.

“Anwar akan meniru cara bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Sinawarta yang melarikan diri ke luar negara dan mengatur rusuhan (civil disobedience) seperti rusuhan ‘Baju Merah’ di Bangkok,” kata Armand semalam.

Sehingga hari ini, Anwar masih dalam lawatannya ke Amerika Syarikat dan dijangka pulang ke tanah air esok.

Mengulas laporan polis itu, Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata PKR tidak pernah membincangkan isu sedemikian dan mendakwa ia hanya sebagai satu lagi fitnah yang ditaburkan Umno-Barisan Nasional (BN) untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat (PR).

“Itu hak mereka untuk buat laporan polis. Ini fitnah orang hilang akal termasuk menggelarkan Anwar sebagai pengganas dan ejen Yahudi namun sampai sekarang tiada bukti kukuh.

“PR nak maju kehadapan untuk fikir cara nak selamatkan ekonomi ekonomi dan membincangkan soal prinsip.

“Jadi saya tak perlu nak jawab isu remeh dan beri perhatian kepada Umno kerana kita tahu rakyat tidak mahu lagi dengar fitnah dan kerja kotor yang dibawa Umno,” katanya ketika merasmikan Seminar Pembangunan Semula Pemikiran Islam Melayu anjuran Yayasan Selangor dan Institut Kajian Dasar (IKD) di sini hari ini.

Isu perlantikan setiausaha

Azmin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Selangor turut memberi amaran kepada Umno dan Barisan Nasional supaya tidak memperkecilkan pemikiran politik rakyat Selangor dengan memanipulasi isu Selangor termasuk kuasa Sultan dan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohamed Khusrin Munawi.

Serangan BN untuk merampas pentadbiran Selangor daripada PR dilihat semakin ketara apabila BN dalam Kempen Selamat Selangor Darul Ehsan (SSDE) mennampilkan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohamad Rahimi Osman, bekas setiausaha politik Anwar Ezam Mohd Noor dan Ummi Hafilda untuk melakukan ‘serangan peribadi’.

“Jangan perlekehkan rakyat Selangor. Rakyat cukup matang menilai dan tentukan apa yang berhak, apa yang dusta dan keji.

“Kalau Umno memilih jalan memaki hamun dan cerca, teruskan. Kalau itu program mereka, teruskan. Jangan ingat rakyat bodoh seperti mereka.

“Malah saya yakin rakyat Selangor hari ini sudah dapat melihat kemampuan PR memimpin Selangor dengan efektif untuk kesejahteraan mereka,” katanya.

Janji PR dilaksana BN

Selain itu, Azmin turut mengulas pengumuman pemberian insentif sebanyak RM7,500 seorang kepada 924 guru besar di seluruh negara yang berjaya meningkatkan prestasi sekolah masing-masing di bawah Tawaran Baru (Ba`iah) oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau dalam responnya turut menyambut baik langkah seperti yang dicadangkan oleh PR dalam Buku Jingga.

Muhyiddin yang juga menteri pelajaran sebelum ini pernah berpendapat bahawa negara akan muflis jika elaun guru dinaikkan sebanyak RM500, mengikut cadangan 100 hari janji PR.

“Najib kata kalau laksanakan cadangan dalam Buku Jingga negara akan muflis tetapi dalam senyap-senyap dia laksanakan apa yang ada dalam buku itu.

“Bagi saya tak mengapa kerana sekurang-kurangnya Najib laksanakan apa yang kita rancangkan dan rakyat dapat manfaat.

“Ini juga bermakna bahawa PR mempunyai keupayaan mentadbir negara dan ekonomi. Kalau begitu bagi saja PR pimpin Putrajaya daripada membenarkan pemimpin Umno yang sudah hilang wawasan untuk memajukan negara,” katanya.

Tiada ulasan: