"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Berhentilah menyusahkan Istana

Harapandaily

NORAINI NORDIN

Nampaknya masih ada lagi ‘drama’ untuk cuba mempengaruhi istana memohon supaya kedudukan PMX dinilai semula.

Kumpulan ini turut melibatkan bekas Perdana Menteri yang usianya sudah mencecah 98 tahun untuk berhimpun di luar Istana Negara pagi semalam.

Turut diheret sama adalah kelompok insan-insan lain yang telah dipengaruhi dengan cerita-cerita manis kononnya ‘istana menanti’ kehadiran mereka.

Alahai…

Kenapalah masih mahu dilibatkan istana dalam ‘drama’ ini, sedangkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pernah bertitah yang baginda tidak akan campur tangan dalam soal politik?

Bahkan, Seri Paduka juga pernah bertitah mengharapkan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri terakhir sehingga berakhir penggal pemerintahan baginda.

Dengan itu, mengapa masih mahu diganggu istana dengan isu menukar Perdana Menteri?

Lebih buruk lagi kerana cubaan menyusahkan istana itu dilakukan ketika Yang di-Pertuan Agong hanya kira-kira berbaki seminggu sahaja lagi sebelum menamatkan tempoh pemerintahan selaku ketua negara.

Sepatutnya, dalam hari-hari terakhir sebelum berangkat pulang ke Pahang, Seri Paduka diraikan dengan perkara-perkara yang menggembirakan dan menyenangkan, bukan mengganggu baginda dengan desakan menukar kerajaan.

Cukuplah dengan pertukaran beberapa Perdana Menteri yang berlaku dalam tempoh pemerintahan lima tahun Sultan Abdullah selaku Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

Tidak perlu disusah dan dibebankan lagi baginda dengan episod seterusnya untuk menukar Perdana Menteri.

Lagi pula, jangan ingat menukar Perdana Menteri seperti menukar baju yang boleh dilakukan bila-bila sahaja disukai.

Selain ada prosesnya, bertukar Perdana Menteri juga mempunyai kesan tertentu kepada rakyat dan negara.

Sebab itu, ia bukan boleh dibuat main-main dan jika negara ingin kestabilan agar rakyat dapat manfaat, gangguan terhadap kerajaan haruslah dinoktahkan segera.

Kalau mahu menukarnya kerajaan atau mahu menjadi Perdana Menteri tunggu sahaja PRU16 nanti. Bertandingkan untuk dinilai oleh rakyat Malaysia .

Mengapa mereka yang ghairah mahu menukar kerajaan dan menjatuhkan Perdana Menteri ini tidak sanggup menunggu ketibaan PRU16?

Semalam juga berlangsung majlis menghadap yang merupakan rutin mingguan PMX kepada Yang Dipertuan Agong sebelum berlangsungnya mesyuarat kabinet.

Majlis menghadap pra mesyuarat kabinet itu adalah yang terakhir sebelum tempoh pemerintahan baginda berakhir pada 30 Januari ini.

Maka, cukup-cukuplah mengganggu istana dengan kemaruk tidak berkesudahan mahu menukar kerajaan.

Berdamailah dengan takdir . Terimalah hakikat yang Anwar adalah PMX yang sedang menerajui Kerajaan Madani yang teguh lagi utuh.

Tiada ulasan: