"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SPRM sangkal Dr Mahathir

SD Murad Khalid telah disiasat BPR, dakwaan Dr M disangkal
Hasil siasatan menunjukkan tiada sebarang kes terhadap Anwar Ibrahim, kata SPRM.

FMT Reporters

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyangkal dakwaan Dr Mahathir Mohamad bahawa badan anti-rasuah tidak menyiasat akuan berkanun (SD) bekas penolong gabenor Bank Negara (BNM), Abdul Murad Khalid, kira-kira 24 tahun lepas.

Suruhanjaya itu berkata rekod menunjukkan Badan Pencegah Rasuah (kini SPRM) membuka enam kertas siasatan untuk menyiasat Anwar Ibrahim susulan penerbitan SD itu.

“Siasatan dijalankan secara mendalam, menyeluruh, dan terperinci dengan bantuan BNM termasuk di dalam dan luar negara seperti United Kingdom dan Singapura.

“Hasil siasatan menunjukkan tiada sebarang kes terhadap Anwar,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya lagi, enam kertas siasatan tersebut dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara pada 12 Ogos 2002.

“Pejabat Peguam Negara memutuskan tiada pertuduhan dikenakan kepada mana-mana pihak,” katanya.

SPRM menyifatkan dakwaan badan anti-rasuah tidak menjalankan siasatan terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan dalam SD itu sebagai “tohmahan”.

Tegasnya, dakwaan mengatakan badan anti-rasuah tidak menjalankan siasatan terhadap Anwar berhubung SD Murad tidak benar sama sekali.

“…malah perkara tersebut berlaku semasa kepimpinan Mahathir sebagai perdana menteri,” tambahnya.

Pada Isnin, bekas perdana menteri Mahathir mempersoalkan mengapa pihak berkuasa tidak menjalankan siasatan terhadap Murad berhubung SD yang dibuat pada 1999.

Murad mendakwa Perdana Menteri Anwar, yang ketika itu pembangkang, memiliki RM3 bilion dalam lebih 20 akaun bank.

Pada 2012, Malaysiakini melaporkan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail mendakwa Murad berada dalam keadaan tertekan ketika membuat SD terhadap dakwaan dana dimiliki Anwar.

Saifuddin mendakwa, Murad “terbang” ke Munich, Jerman, pada akhir 2004 untuk bertemu Anwar dan memohon maaf berhubung isu SD dibuatnya.

Murad meletak jawatan sebagai penolong gabenor BNM pada 1 Feb 1999. Beliau bertanggungjawab ke atas peraturan dan penyeliaan perbankan.

Tiada ulasan: