"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rampas kuasa atau hilang lebih ramai Ahli Parlimen, PN diberitahu

FMT Reporters

PETALING JAYA: Lebih ramai Ahli Parlimen Bersatu akan menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim melainkan pembangkang boleh membuktikan mereka mampu menukar kerajaan dalam tempoh terdekat, kata sumber rapat dengan seorang pemimpin parti.

Orang dalam itu yang enggan dinamakan berkata, pemimpin Perikatan Nasional (PN) perlu memberi “bukti kukuh” bahawa pertukaran itu akan berlaku.

Jika tidak, lebih ramai Ahli Parlimen Bersatu akan beralih sokongan kepada kerajaan Anwar, kata sumber itu.

PN mendakwa ia boleh mengambil alih pentadbiran Putrajaya jika menang besar dalam pilihan raya enam negeri Ogos tahun lalu. Dakwaan sama dibuat pada PRK Kemaman, Terengganu.

Cakap-cakap mengenai pengambilalihan kuasa persekutuan daripada kerajaan perpaduan timbul lagi susulan dakwaan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Sanusi Nor, gabungan itu mempunyai akuan berkanun yang cukup daripada Ahli Parlimen untuk menukar kerajaan.

“Bagaimanapun, sekiranya kita tak tawarkan apa-apa yang kukuh (kepada Ahli Parlimen PN) mereka akhirnya akan menyokong Anwar. Apa pun, kita terdesak untuk bertindak segera,” kata sumber kepada FMT.

Sumber itu berkata, ada khabar angin dua lagi Ahli Parlimen bakal menyatakan sokongan kepada Anwar.

Sehingga kini, enam Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Anwar dengan alasan demi kepentingan kawasan diwakili mereka.

Mereka adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Semalam, Syed Hussin mendakwa lebih ramai Ahli Parlimen Bersatu akan menyokong Anwar sebelum Dewan Rakyat bersidang 26 Feb ini.

Kata sumber, walaupun ada kemungkinan itu, ramai pemimpin Bersatu memfokuskan pemilihan parti dijangka berlangsung tahun ini. “Beberapa pemimpin tertinggi tidak mahu menonjol kerana mahu mengekalkan jawatan mereka,” katanya.

Pusingan-U Muhyiddin

Seorang lagi pemimpin Bersatu berkata, keputusan beberapa Ahli Parlimen menyokong kerajaan mungkin berpunca daripada keputusan Muhyiddin Yassin membuat pusingan-U untuk melepaskan jawatan presiden.

“Sebahagian ahli parti mahukan pemimpin baharu apabila parti gagal membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum,” kata pemimpin itu.

Jika Muhyiddin kekal dengan keputusan awalnya untuk tidak mempertahankan jawatan, mungkin tidak ada Ahli Parlimen beralih sokongan kepada Anwar, katanya. “Ahli Parlimen itu merasakan parti sudah hilang arah dan ia memerlukan pemimpin baharu untuk kembali ke landasan semula.”

Pada perhimpunan agung parti tahun lalu, Muhyiddin mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya, tetapi sehari kemudian beliau berubah fikiran selepas berbincang dengan isterinya.

Semalam, Syed Hussin mendakwa keputusan Muhyiddin itu mengecewakan ahli.

Tiada ulasan: