"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemimpin, aktivis PN tak ada yang berani ‘bakar’ Rafizi dalam podcast YBM

SITI NUR ZAWANI

Tiada seorang pun pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk aktivis mereka yang aktif menyerang kerajaan di media sosial, berani menyahut pelawaan menyertai siaran podcast Yang Bakar Menteri (YBM).

Kata Rafizi, walaupun pejabatnya telah menghubungi ramai pemimpin dan aktivis PN yang berpotensi untuk ‘membakar’ beliau dalam podcast YBM, sehingga kini semuanya telah menolak.

Selain dari YB Viral iaitu salah seorang tentera siber PN yang paling banyak menyerang kerajaan, – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal dan Ketua Penerangan Pemuda Pas Gombak, Suffi Kamari juga disebut telah menolak jemputan tersebut.

“Selain dari YB Viral, senarai pemimpin dan aktivis maya PN yang tidak berani bersemuka termasuklah YB Wan Fayhsal (AP Machang), YB Pendang, Solisidtor, Hawa Yaakob dan Sufi Kamari.

“Saya tidak akan putus asa dan akan terus menghubungi lebih ramai pemimpin dan aktivis maya PN untuk menyahut cabaran membakar saya secara langsung.

“Jangan hanya berani mengkritik di belakang tetapi tidak berani memberi pandangan membina di depan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Matlamat podcast YBM ialah memberi keutamaan kepada penyokong dan pemimpin PN untuk bersemuka, supaya rakyat dapat menilai hujah kerajaan berbanding pembangkang.

Kata Rafizi, beliau akan berpegang kepada matlamat utama podcast YBM; iaitu memberi ruang kepada mereka yang membangkang, atau kritikal kepada pendekatan kerajaan.

Biarpun ada dalam kalangan bekas pemimpin Pakatan Harapan sendiri yang menawarkan diri untuk menyertai YBM, namun kata Rafizi, membenarkan mereka mengisi ruang di podcast YBM sama seperti memberi bola tanggung kepada pembangkang untuk mengalihkan isu dengan mengapi-apikan sesama PH.

“Ada dari kalangan bekas pemimpin PH yang menawarkan diri. (Tapi) perkara ini akan diambil kesempatan oleh aktivis maya PN, kononnya saya tidak berani bersemuka dengan individu tertentu,” ujarnya.

Oleh kerana setakat ini belum ada pemimpin atau penyokong PN yang berani tampil, pihaknya telah mempelawa seorang ahli akademik, yang kecenderungannya agak kritikal dan sinikal terhadap kerajaan.

“Dr Barjoyai Bardai ialah seorang ahli akademik di universiti swasta yang banyak juga mengkritik saya dan pendekatan kerajaan sebelum ini.

“Semasa debat antara saya dan Ahli Parlimen Bachok, beliau dilambung oleh penyokong PN sebagai bukti yang pandangan saya ditolak oleh seorang ahli akademik.

“Malam ini beliau akan mengkritik dan membakar saya secara berdepan. Jangan lupa ikuti sesi membakar malam ini bermula jam 8 malam di semua saluran media sosial,” katanya lagi.

Tiada ulasan: