"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SPRM siasat satu lagi amanah berkait Daim bernilai ratusan juta

Hariz Mohd

Satu lagi dana amanah luar pesisir yang ditubuhkan atas nama isteri dan dua anak Daim Zainuddin sedang dalam penelitian pasukan penyiasat anti rasuah negara.

Ini selepas dokumen bocor baru-baru ini mendedahkan ahli keluarga bekas menteri kewangan itu merupakan pemilik benefisial satu lagi amanah luar pesisir, yang memegang aset bernilai ratusan juta ringgit.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan perkara itu berkata mereka sedang meneliti kebocoran data terbaru tersebut.

"Ya, kita memang menyiasat perkara ini.

"Kita dah dapat melalui papers tu, dan kita akan verifikasi maklumat betul tak betul.

"Sebab perkara ini kita perlu sahkan," kata Azam kepada Malaysiakini.

Pada 18 Jan, Malaysiakini melaporkan dokumen yang bocor menunjukkan amanah itu ditubuhkan atas nama isteri Daim, Na’imah Abdul Khalid dan dua anak lelakinya Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin.

Dokumen itu diperoleh Konsortium Penyiasatan Kewartawanan Penyiasatan (ICIJ) dan dikongsi dengan Malaysiakini.

Kebocoran terbaru daripada penyedia perkhidmatan dari Kepulauan Cayman menunjukkan bahawa selewat-lewatnya pada 2020, terdapat aset bernilai kira-kira AS$52.56 juta (RM244.06 juta) yang dipegang dalam ZA Star Trust, yang dimiliki oleh Na’imah, Amir dan Amin.

Ia berlaku di tengah-tengah siasatan berterusan SPRM terhadap kekayaan tidak diisytiharkan yang dipegang oleh Daim, berikutan pendedahan Pandora Papers oleh Malaysiakini dan ICIJ pada 2021.

Susulan laporan itu, Na'imah (gambar atas) mengeluarkan kenyataan menegur media, mendakwa ia ditulis dalam "nada sensasi" untuk menimbulkan tanggapan salah laku.

Dia juga menegaskan keluarganya tidak pernah menyembunyikan pemilikan aset di luar negara yang diperoleh daripada "aktiviti perniagaan dan pelaburan" sejak sebelum suaminya terlibat dalam politik.

Pada 2021, Daim berkata semua kekayaannya diperoleh secara sah dan penubuhan amanah sebahagian daripada pengurusan harta pusaka yang sah manakala dua minggu lalu, Na’imah berkata siasatan itu bermotifkan politik dan pihaknya akan menyaman SPRM.

Tiada ulasan: