"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno Selangor sukar bangkit meski kuasai jawatan ketua kampung

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Menguasai pentadbiran akar umbi bukan jaminan Umno Selangor mampu “memugar” semula keyakinan kelompok sasar mereka terutama di kawasan kampung, kata pemerhati politik.

Ini kerana Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berpandangan tapak sokongan Umno dan Barisan Nasional (BN) di negeri itu hampir ranap sepenuhnya selepas hilang pemerintahan pada 2008 kepada Pakatan Rakyat.

“Pengaruh dan penguasaan Umno-BN merosot mendadak pada segmen pengundi Melayu terutama pengundi atas pagar, anak muda, penjawat awam dan pasukan keselamatan.

“Untuk bangkit dengan hanya berbekalkan penguasaan jawatankuasa kampung dan menjual pembangunan desa agak sukar Umno-BN memulihkan sokongan,” katanya kepada FMT.

Malah, Hisommudin berkata ketiadaan Noh Omar yang ketika itu ketua Umno Selangor dalam senarai calon pada PRU15 menambah beban untuk parti Melayu berkenaan bangkit, khususnya di utara Selangor.

Noh, Ahli Parlimen Tanjong Karang selama enam penggal sejak 1995 kini menyokong kem Perikatan Nasional (PN) selepas dipecat Umno pada 27 Jan tahun lalu.

Pada 20 Jan, Ketua Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin berkata parti itu menuntut 373 jawatan pengerusi jawatankuasa pembangunan dan keselamatan Kampung (JPKK) dan pada masa sama mengembalikan 20 kerusi ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada rakannya, Pakatan Harapan (PH).

Beliau menegaskan ini kerana kuota 20 jawatan diperuntuk kepada Umno hanya 7% daripada 288 kerusi ahli majlis membabitkan 12 PBT, dengan berkata: “Kita mahu PH jaga bandar dan Umno jaga kawasan kampung”.

Dalam nada berbeza, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata PH perlu lunak dengan tuntutan Umno itu kerana hanya parti Zahid Hamidi sahaja boleh diharapkan menarik sokongan orang Melayu yang kini majoritinya ditawan PN.

“PH tahu dalam menarik sokongan orang Melayu, sandaran terbaiknya adalah bukan kepada PKR bukan kepada Amanah tetapi Umno,” katanya.

Justeru, katanya, Umno perlu ditonjolkan sebagai parti berpengaruh dan berkuasa namun memerlukan bantuan PH untuk bergerak di peringkat akar umbi.

Hisommudin turut memberi amaran krisis kuota PBT dan JPKK itu harus diselesaikan segera atas semangat kerajaan perpaduan, atau hubungan kedua-dua parti itu akan lebih “rumit” menjelang PRU akan datang.

“Sekiranya berkeras, perkara ini akan menjadi titik-titik yang akan membibitkan perpecahan dalaman antara dua parti berkenaan.”

Tiada ulasan: