"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita OKU diseterika, dipukul hingga mati

Hafidzul Hilmi Mohd Noor

hafidzul@hmetro.com.my

Serdang: Diseterika dan dipukul menggunakan kayu panjang sehingga mati hanya kerana mencubit seorang kanak-kanak.

Itu tindakan kejam sekumpulan individu terhadap wanita yang juga orang kurang upaya (OKU) intelektual dalam kejadian di Seri Kembangan di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, AA Anbalagan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 12 tengah hari.

"Polis menerima maklumat dari kakak mangsa memaklumkan adik perempuannya ditemui meninggal dunia di rumah berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati, mangsa maut dipukul menggunakan kayu panjang dan diseterika secara berulang-ulang sehinggakan mengalami kecederaan pada tubuh badan mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, katanya, polis menahan tujuh individu iaitu empat lelaki dan tiga wanita pada jam 4 petang hari yang sama dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.

"Semua suspek berusia lingkungan 25 hingga 79 tahun dan berasal dari Lembah Klang.

"Siasatan lanjut mendapati motif kejadian bunuh disyaki kerana mangsa yang memegang kad OKU (Intelektual ) dikatakan memarahi dan mencubit anak salah seorang suspek berusia lingkungan dua hingga tiga tahun," katanya.

Katanya, empat suspek direman selama tujuh hari sehingga 28 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala tiga lagi suspek diberi jaminan polis.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan boleh menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Rosnani di talian 018-2771866,"katanya.

Tiada ulasan: