"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suspek curi kabel ‘lari’ 100km sebelum dicekup

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki manakala dua lagi rakannya melarikan diri selepas lori dinaiki mereka dikejar anggota polis sejauh hampir 100km di Dungun, awal pagi tadi.

Ketua Polis Dungun, Maizura Abdul Kadir, berkata tiga suspek berkenaan yang menaiki lori Isuzu dikesan dalam keadaan mencurigakan di Kampung Santong, Paka pada jam 4 pagi tadi.

Beliau berkata pemandu lori berkenaan kemudian diarahkan berhenti untuk tujuan pemeriksaan, tetapi dia bertindak memecut laju memasuki Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dan merempuh penghadang Plaza Tol Paka.

“Mereka kemudian melarikan diri ke arah Kuala Terengganu dan keluar di Plaza Tol Ajil sebelum berpatah balik ke Dungun, melalui jalan Jerangau-Jabor.

“Suspek juga bertindak merempuh satu lagi penghadang tol ketika keluar dari LPT2 dan sebuah sekatan jalan raya di kawasan Jerangau, sebelum melalui jalan Tok Kah dan keluar di simpang Kampung Pulau Serai menuju bandar Dungun,” katanya menurut laporan Bernama.

Maizura berkata lori tersebut kemudian berhenti berhampiran Jambatan Nibong, sebelum pemandu dan kelindannya yang masing-masing berusia 30-an bertindak melarikan diri.

Bagaimanapun, katanya, seorang lagi suspek lelaki berusia 35 tahun yang berasal dari Kuantan, Pahang gagal meloloskan diri dan ditahan polis pada jam 6.55 pagi tadi.

“Hasil pemeriksaan pada belakang kenderaan tersebut mendapati terdapat kabel syarikat Telekom Malaysia (TM) sepanjang 44.2m dipercayai dicuri suspek.

“Polis ketika ini sedang mengesan dua suspek yang masih bebas dan suspek yang telah ditahan didapati memiliki sembilan rekod lampau berkaitan dadah dan kita akan jalankan ujian urin ke atasnya,” katanya.

Tiada ulasan: