"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS patut ambil alih kepimpinan PN dari Bersatu

Malaysiakini 

Pemimpin veteran Umno melontarkan cadangan agar PAS memimpin Perikatan Nasional (PN) menggantikan Bersatu.

Dalam kenyataan di Facebook, Shahrir Abdul Samad melontarkan cadangan itu dengan memetik perkembangan politik yang menyaksikan sejumlah ahli parlimen Bersatu menyokong pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Patutnya PAS pula yang ambil alih kepimpinan PN dan bukan Bersatu marah-marah sama sendiri termasuk libatkan isteri presiden," katanya.

Shahrir juga mencadangkan agar Bersatu memecat ahli parlimen mereka yang menyokong kerajaan perpaduan.

Pada 24 Jan, Ahli Parlimen Tanjung Karang Zulkafperi Hanapi menjadi ahli parlimen keenam dari Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.

Zulkafperi berkata tindakan itu dibuat bagi menjaga kestabilan politik dan memastikan pemulihan ekonomi yang lancar, selain memastikan kebajikan pengundinya terjaga.

Dua hari kemudian, Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Syed Abu Fasal mendakwa "pusingan-U" Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk tidak melepaskan jawatan presiden semasa kongres tahunan parti itu telah melemahkan moral ahli yang mahu melihat perubahan.

Abu Hussin adalah salah seorang daripada enam ahli parlimen Bersatu yang telah berjanji menyokong kerajaan.

Ahli parlimen lain yang berikrar menyokong kerajaan ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Sambil membidas pembangkang, Shahrir mengingatkan PN bagaimana mereka menuduh Umno tidak mempunyai maruah kerana bekerjasama dengan DAP selepas pilihan raya umum ke-15.

"Kan heboh kempen PN di pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil bagaimana tidak bermaruahnya Umno kerana bersama DAP dalam kerajaan perpaduan.

"Kini, dah enam ahli parlimen PN dari Bersatu isytihar sokongan kepada PMX (Anwar) dan kerajaan perpaduan," kata bekas menteri itu.

Tiada ulasan: